“KENAPA mesti sekali lagi abang?” ujar
Lydia kepada suaminya. Air mata yang mengalir laju diseka menggunakan hujung
lengan baju kurung putih berbunga merah jambu itu.
“Maafkan abang sayang. Abang tak pernah
terfikir untuk menduakan sayang,” ujar Latif dengan rasa hiba.
Lydia memalingkan mukanya daripada
memandang wajah suaminya. Hatinya kini benar-benar terluka. Tidak mungkin bisa
disembuhkan lagi.
“Sayang tak boleh pertimbangkan lagi ke
keputusan sayang kali ini? Abang masih sayangkan Lydia ,” ujar Latif dengan
nada sayu. Hari ini dia dipanggil ke mahkamah syariah apabila Lydia menuntut
cerai kepadanya.
Lydia menarik pintu kereta dengan kasar.
Perkarangan mahkamah syariah itu ditinggalkan olehnya secepat yang mungkin. Dia
tidak mahu keputusannya untuk menuntut khuluk’ daripada Latif kali ini
dipengaruhi oleh kata-kata manis daripada Latif lagi.
“Sesuatu yang halal yang amat dibenci
Allah ialah talak.”
(H.R. Abu Dawud dan Ibnu Majah )
*****
PETANG itu mereka sama-sama menikmati
angin petang di Taman Bukit Layang-Layang. Seingatnya, sudah lama Lydia tidak
meluangkan masa berjalan-jalan bersama Latif suaminya itu lantaran kenaikan
pangkatnya sebagai penolong pegawai jabatan perkhidmatan veterina benar-benar
membuatnya sibuk.
“Sayang sibuk ya sekarang ni?” soal
Latif perlahan. Tangannya mengelus lembut jari jemari Lydia .
“Sangat,” jawab Lydia sepatah. Sebuah
keluhan dilepaskan. Kepalanya dilentokkan ke bahu Latif.
Latif memandang sekilas wajah Lydia .
Lydia sedang memejamkan matanya. Dilihat wajah isterinya itu kelihatan agak
pucat. Barangkali Lydia sangat letih sekarang ini.
“Kalau sayang penat, jom kita balik,”
usul Latif kepada Lydia . Kasihan pula dilihat isterinya itu.
Memang tadi Lydia yang beria-ia benar
mengajaknya ke sini setelah pulang daripada kerja. Katanya sudah lama mereka
tidak bersiar-siar bersama. Kerana itu mereka ada di Taman Bukit Layang-layang
itu.
“Emm,” hanya itu yang keluar daripada
mulut Lydia .
Latif hanya tertawa apabila mendengar
reaksi Lydia itu. Sah, isterinya sangat penat dan mengantuk. Dibiarkan suasana
sepi di antara mereka hampir sepuluh minit. Akhirnya Lydia membuka matanya.
“Abang masih sayang Lydia ?” soal Lydia
tiba-tiba.
Latif tersentak mendengar pertanyaan
Lydia . Senyuman diukirkan menutup kegusaran hatinya. Anak matanya dilarikan
daripada memandang wajah isterinya itu.
“Bagi sepuluh sebab kenapa abang tak
sayang Lydia ,” ujar Latif cuba melarikan diri daripada menjawab soalan
isterinya itu.
Angin petang berhembus kuat. Lydia
mengalihkan pandangannya ke atas langit. Dilihat layang-layang berbagai warna,
bentuk dan saiz sedang terbang tinggi mendahului antara satu sama lain. Ada
juga yang boleh menghasilkan bunyi. Kagum dia melihat bentuk satu layang-layang
yang berbentuk seakan-akan dua hati yang bercantum menjadi satu itu.
“Kalau sayang kata sayang, tidak aku
terbayang-bayang,” ujar Lydia tenang.
Sebenarnya sudah lama dia mahu
menanyakan soalan itu kepada Latif. Hari ini baru dia berpeluang menanyakannya
setelah usia perkahwinan mereka menginjak enam tahun.
“ Lydia meragui kasih sayang abang pada
Lydia ?” soal Latif. Suaranya kedengaran bergetar.
“Bukan meragui, sekadar ingin
memastikan,” lancar sahaja ayat itu meluncur keluar daripada bibir Lydia .
Dan layang-layang berbentuk hati tadi
kini sedang terbang tinggi di atas awan meninggalkan layang-layang lain di
bawah yang cuba menyaingi ketinggiannya. Kedengaran jeritan suara daripada
bawah yang bersorak apabila ada layang-layang yang terputus talinya direntap
oleh layang-layang lain.
“Kita kena saling percaya Lydia ,” ujar
Latif perlahan.
Lydia sekadar mengangguk mengiakan
kata-kata Latif tadi. Pandangannya masih tidak beralih daripada memandang
layang-layang berbentuk hati tadi. Membuat Latif juga turut sama memandang ke
arah layang-layang itu.
Tiba-tiba muncul sebuah layang-layang
bewarna hitam dengan bentuk seolah-olah burung menghampiri layang-layang
berbentuk hati tadi. Dengan rakusnya, layang-layang hitam itu merentap tali
layang-layang yang ada disekitarnya.
Terlopong mulut Lydia melihatnya. Tidak
percaya, dada langit yang tadi dihiasi dengan pelbagai warna, bentuk dan saiz
layang-layang kini hanya bersisa tiga layang-layang. Kini hanya tinggal
layang-layang merah berbentuk hati, layang-layang hitam berbentuk burung dan
sebuah lagi layang-layang lagi bewarna merah hitam berbentuk kumbang.
“Abang, tengok tu. Tinggal tiga je,”
ujar Lydia separa menjerit.
Latif yang sememangnya dari tadi
memerhati hanya ketawa mendengar ayat yang keluar daripada mulut isterinya itu.
“Abang gelak pulak. Si burung tu
jahatlah abang. Habis semua layang-layang lain dia putuskan tali,” komen Lydia
lagi.
Dalam tawa yang masih bersisa, Latif
memaut bahu isterinya itu. “Layang-layang je pun sayang. Kenapa nak serius
sangat ni,” ujar Latif seolah-olah memujuk Lydia .
“Abang tengoklah tu. Sekarang dia kejar
si hati tu pulak,” ujar Lydia sambil menudingkan jarinya ke arah layang-layang
bewarna hati yang sedang ligat melarikan diri daripada terus menjadi buruan si
layang-layang burung hitam.
“Ya, abang tengah tengok ni,” ujar Latif
perlahan. Setia melayani Lydia yang kini sedang teruja melihat layang-layang
itu.
Dan si burung hitam tadi kini merapati
si kumbang merah hitam perlahan-lahan. Mengelilingi si kumbang beberapa kali,
hingga pada akhirnya tali mereka terbelit. Namun si burung hitam tidak
memutuskan tali si kumbang merah hitam. Membawa si kumbang terbang tinggi
bersamanya. Meninggalkan si hati di bawah.
Si hati yang tadinya terbang tinggi kini
sudah ketinggalan di bawah. Masih terbang tenang mengikut arah angin. Lydia
menarik nafas lega. Namun kelegaannya tidak bertahan lama apabila si burung
hitam bersama kumbang merah hitam tadi tiba-tiba terbang rendah menghampiri si
hati.
Hati yang tadinya terbang tenang kini
kelam-kabut mencari ruang untuk menjarakkan diri daripada si burung. Si burung
pula semakin menggila mencari ruang dan peluang untuk merentap tali si hati. Si
kumbang yang terbelit sama tidak pula cuba untuk melepaskan dirinya daripada si
burung. Akhirnya, dengan kasar, si burung merembat tali si hati sekuat-kuatnya
membuatkan si kumbang turut sama merentap tali si hati.
Terbanglah si hati menjunam jatuh ke
bumi. Kini di dada langit, terbang megah beriringan si burung hitam dan kumbang
merah hitam yang terlilit kemas tali mereka. Kemenangan kini milik mereka.
Muka Lydia sudah mencuka. “Jomlah kita
balik abang,” ujarnya serius.
“Eh, abang pula yang kena marah,” ujar
Latif cuba berseloroh.
“Jahat sungguh si burung tu. Kesian
hati. Si kumbang pulak boleh pulak ikut si burung tu. Tak cuba langsung nak
lepaskan diri,” ujar Lydia dalam nada protes.
“Dahlah tu. Layang-layang je pun sayang.
Emosi sangat sayang ni.” Latif cuba memujuk. Untuk melegakan rasa marah
isterinya itu, Latif membelikan aiskrim kon berperisa vanilla kegemaran Lydia
di gerai kecil di Taman Layang-Layang itu dalam perjalanan mereka pulang ke
kereta.
Walaupun sudah menikmati aiskrim itu,
rasa marah di hati Lydia masih tidak reda. Dia juga tidak tahu kenapa. Latif
mengusap-ngusap bahu Lydia untuk menenangkan hati isterinya itu. Mungkin
isterinya bisa lebih tenang.
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya
ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu
cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa
kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat
tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”.
(Q.S. Ar Rum (30) : 21 )
*****
TELEFON Latif berbunyi lagi. Masuk kali
ini sudah tiga kali telefonnya berbunyi menandakan ada pesanan ringkas yang
masuk. Lydia merasa tidak sedap hati. Mungkin ada perkara penting yang ingin
dikhabarkan oleh keluarga terdekat mereka. Mahu ditunggu Latif pulang daripada
kedai memang lama lagilah jawabnya.
Kini, telefon itu berdering lagi. Lydia
merapati meja kecil di sebelah katil. Dilihat sekilas telefon bimbit milik
suaminya itu. Akhirnya Lydia mencapai telefon itu. Entah mengapa dadanya
berdebar-debar apabila melihat ada empat pesanan ringkas baru tertera di skrin
telefon bimbit suaminya itu.
Belum sempat Lydia membuka peti
simpanan, Latif sudah menjengukkan kepalanya ke dalam bilik dan mengejutkan
Lydia yang sama sekali tidak perasan kepulangan Latif.
“Sayang buat apa tu?” soal Latif dengan
senyuman di bibir.
“Err.. Tak ada apa-apa. Lydia tengah lap
habuk dekat meja ni,” ujar Lydia tergagap-gagap. Jantungnya hampir luruh
apabila mendengar suara Latif sebentar tadi. Tangannya mengelap habuk yang ada
di meja kecil itu bagi memastikan lakonannya berhasil.
“Owh, kenapa tak guna kain buruk. Guna
tangan pulak. Nanti kotorlah tangan si cantik manis abang ni,” ujar Latif
seraya menghampiri Lydia . Melihat Latif menghampirinya, pantas Lydia
meletakkan kembali telefon bimbit Latif di atas meja kecil itu sebelum Latif
betul-betul berada dibelakangnya.
“Alaa, tangankan boleh lap kalau kotor,”
ujar Lydia perlahan.
“Meh abang tolong lapkan,” ujar Latif
seraya mencapai tangan Lydia dan dilap menggunakan tisu basah.
Lydia hanya tersenyum memandang kelakuan
Latif itu. Kadang-kadang lelaki ini begitu romantis terhadapnya tetapi
kadang-kadang Lydia meragui keikhlasan hati Latif kepadanya.
Telefon bimbit Latif yang berada di atas
meja kecil itu dipandang lagi.
‘Empat pesanan ringkas tadi daripada
siapa?’ Persoalan itu bermain-main dibenaknya. Cuba dipamerkan senyuman buat
suaminya walaupu hatinya sedang mendidih marah.
‘Aku berlindung diri dengan Allah dari
syaitan yg terkutuk, ya Allah, ampunilah dosaku & hilangkanlah kepanasan
hatiku & lepaskanlah aku dari syaitan yg terkutuk.”
(Doa ketika sedang marah)
*****
“TASYA rindu abang tak?” soal Latif.
Bibirnya mengukir senyum.
“Mestilah rindu. Dah tiga hari abang tak
telefon Tasya,” ujar Tasya dalam nada manja. Wayar telefon rumahnya
dipintal-pintal.
“Wah, ingatkan tak rindu dekat abang.”
Latif berpura-pura terperanjat. Sebenarnya dia tahu Tasya pasti rindukan belai
mesra daripadanya.
“Abang tu yang tak rindu dekat Tasya,”
rengek Tasya manja. Mahu dipujuk oleh Latif.
“Alaaa, abang bukan tak nak telefon.
Tasya pun tau kan Lydia tu macam mana,” ujar Latif sambil melepaskan keluhan
kecil.
“Hubungan kita ni macam mana abang?”
soal Tasya terus kepada persoalan yang sering kali bermain di mindanya sejak
akhir-akhir ini.
“Hubungan kita?” soal Latif inginkan
penerangan lebih lanjut. Kepalanya disandarkan ke kepala katil.
“Yalah. Takkan kita nak telefon dan
jumpa curi-curi sepanjang masa. Bila abang nak beritahu Lydia pasal sayang?”
Tasya bertanya lagi. Dia berharap Latif memahami maksud pertanyaannya itu.
“Nantilah sayang. Sayang sabar ya. Ada
peluang nanti abang beritahu Lydia tu,” ujar Latif cuba meyakinkan Tasya
kekasih pujaan hatinya kini.
“Abang beritahulah cepat-cepat. Sayang
tak sanggup nak berjauhan dengan abang. Tasya nak sentiasa ada di sisi abang”
rengek Tasya lagi.
Kembang hati Latif mendengarnya. Jika
dengan Lydia , jarang sekali Lydia berada di rumah. Jika ada sekalipun pasti
Lydia sibuk menguruskan hal-hal pejabatnya. Jika tidak, pasti Lydia tidur awal
kerana keletihan. Jarang sekali Lydia mahu menemaninya.
“Sebab tulah abang sayang sayang. Abang
pun dah bosan dengan Lydia tu,” ujar Latif tanpa berselindung.
Tasya sudah tersipu-sipu malu. Kini,
rancangannya sudah berjaya. Dia bakal menjadi isteri Latif tidak lama lagi.
Hanya perlu menanti waktu beberapa hari lagi sebelum Lydia diceraikan.
Di balik daun pintu, Lydia yang
mendengar semua perbualan Latif di kamar tidur mereka terduduk di atas lantai.
Dia sangat lemah ketika ini. Apakah benar semua yang didengarinya tadi
dituturkan oleh Latif suaminya.
Lydia tidak boleh menuduh suaminya
begitu sahaja. Dia harus menyelidiki perkara ini dahulu untuk mengetahui sejauh
mana kebenarannya. Walaupun kini hatinya hancur, dia hanya mampu bersabar.
“Dan seorang isteri yang sabar atas budi
pekerti suaminya yang buruk akan diberi oleh Allah pahala sama dengan pahala
Asiah isteri Firaun”.
(Sabda Rasullulah)
*****
LYDIA terjaga daripada tidur lenanya
apabila telefon bimbit milik Latif bergetar di atas meja kecil itu. Lampu tidur
yang bewarna kuning malap itu menerangi bilik yang kelihatan samar-samar dalam
kegelapan malam. Dapat dilihat jam di dinding menunjukkan pukul tiga pagi.
Lydia melorotkan selimut yang
dipakainya. Badannya disandarkan ke kepala katil. Matanya disorotkan ke arah
Latif disebelah yang masih lena diulit mimpi. Pantas tangannya menyelimuti
badan Latif yang dilihat meringkuk itu. Barangkali suaminya itu kesejukan.
Sekali lagi telefon bimbit Latif
bergetar di atas meja kecil itu. Kali ini lebih lama.
‘Mungkin panggilan penting,’ bisik hati
Lydia . Lantas , Lydia bangkit dari katil dan kakinya menuju ke meja kecil itu.
Skrin telefon bimbit itu masih menyala-nyala menanti panggilannya bersambut.
Hatinya berdebar. Matanya terpaku pada
nama yang tertera di skrin telefon bimbit itu. Kakinya kaku. Terasa badannya
sejuk tiba-tiba.
‘Aku harus mencari tahu siapa pemanggil
ini,’ kata hati Lydia memberi semangat dan keyakinan kepadanya.
Melihat Latif yang masih tidur lena,
dengan pantas telefon itu dicapai dan Lydia melangkah dengan cepat ke pintu
bilik dan meloloskan diri keluar daripada bilik tidur itu.
Lydia masih menanti pemanggil tadi
menelefon kembali di ruang tamu yang hanya diterangi oleh biasan cahaya lampu
daripada jalan raya. Dan telefon itu bergetar lagi. Kali ini, tertera dengan
jelas nama di skrin. Tasya Darling.
‘Tasya Darling,’ bisik hati Lydia .
Tangannya pantas menekan butang menerima
panggilan dan kedengaran suara seorang wanita di hujung talian.
“Abanggggg,” suara itu merengek manja.
Lydia diam. Dia tahu pasti suara itu
mahu mendengar suara Latif. Hatinya bergelora. Masih menanti ayat seterusnya
daripada wanita itu.
“Abangggg sayang sejuk. Peluk sayang….”
Rengeknya lagi.
Kali ini mulut Lydia ternganga luas.
Peluk? Peluk siapa? Siapa yang disuruh peluk oleh wanita itu?
“Abang kenapa diam ni. Penat tau sayang
tunggu abang peluk sayang. Abang tak telefon sayang pun sebelum tidur tadi,”
suara itu berbicara lagi dengan nada menggoda.
Lydia masih mendiamkan diri. Dia tidak
tahu apa yang harus diucapkannya kali ini. Terasa dirinya begitu kerdil saat
ini apabila mendapat tahu suaminya bermain kayu tiga dibelakangnya. Malah Lydia
merasakan hubungan suaminya dengan wanita ini bukan calang-calang. Sudah pandai
berpeluk bagai.
“Abang mengantuk sangatlah tu sampai tak
nak cakap dengan sayang. Meh sayang peluk abang. Sayang cium pipi abang ya,”
ujar Tasya lagi. Kali ini lebih menggoda.
Kali ini, Lydia sudah tidak mampu lagi
untuk menadah telinganya mendengar kata-kata wanita itu. Semakin lama dia
mendengar, semakin hancur hatinya. Talian diputuskan.
Lydia bersandar di sofa itu. Mengingat
kembali kata-kata wanita tadi, pantas Lydia membuka peti simpanan pesanan
ringkas di telefon suaminya. Di lihat satu-persatu pesanan ringkas yang
diterima oleh Latif. Hampir semuanya daripada wanita bernama Tasya tadi.
Paling menyayat hati apabila pesanan
ringkas ini dibacanya.
‘Tasya sayang abang sangat-sangat. Tak
sabar nak tunggu abang ceraikan Lydia tu. Sakit hati Tasya dengar abang cerita
dia tak pandai layan makan minum abang. Tak pandai layan keperluan abang. Abang
cepat-cepatlah ceraikan dia. Tasya boleh layan abang setiap saat.’
Air mata berjuraian juga akhirnya.
‘Alahai suami. Apa lagi yang tidak
dilakukan oleh aku. Makan minummu tiap hari aku sediakan. Pakaianmu tiap hari
aku gosok dan gantung rapi. Setiap malam aku mendengar cerita dan setiap
keluhanmu yang bagaikan anak kecil. Apa lagi yang kurang dalam hubungan kita
ini hingga engkau bercerita tentang keburukkanku kepada orang lain,’ rintih
hati Lydia .
Lydia menangis teresak-esak. Tidak dapat
di tahan kesedihan ini. Sebenarnya ini bukan kali pertama Lydia mendapat tahu
mengenai hubungan mesra Latif bersama wanita lain. Masuk kali ini, sudah lima
kali Latif curang kepadanya. Dan setiap kali itu Lydia hanya mampu memaafkan
Latif kerana dia benar-benar menyintai lelaki itu. Kasihnya hanya tumpah pada
Latif, lelaki yang dicintainya sejak di bangku sekolah dulu.
‘Ingatlah (hai kaumku), terimalah
pesanku untuk berbuat baik kepada para isteri, isteri-isteri itu hanyalah dapat
diumpamakan kawanmu yang berada di sampingmu, kamu tidak dapat memiliki apa-apa
dari mereka selain berbuat baik, kecuali kalau isteri-isteri itu melakukan
perbuatan yang keji yang jelas (membangkang atau tidak taat) maka tinggalkanlah
mereka sendirian di tempat tidur dan pukullah mereka dengan pukulan yang tidak
melukai. Kalau isteri-isteri itu taat kepadamu maka janganlah kamu mencari
jalan untuk menyusahkan mereka.’
(Riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah)
*****
“SAYA Latif bin Iskandar dengan ini
menceraikan Lydia binti Ismail dengan talak satu,” ujar Latif dengan sebak. Air
mata lelakinya gugur juga.
Lydia yang sopan berbaju kurung putih
pemberian Latif pada malam pernikahan mereka dahulu turut menitiskan air mata.
Usia perkahwinan mereka yang genap tujuh tahun hari ini telah memisahkan mereka
hanya dengan satu lafaz cerai daripada Latif.
Lydia masih kelihatan ayu dan sopan saat
pertama kali mereka bertemu dibangku sekolah dahulu. Air mata yang menitis di
pipi Lydia mengingatkan Latif tentang pertemuan pertama mereka di mana waktu
itu juga Lydia sedang menangis kerana telah dibuli oleh rakan-rakan Latif.
Latif yang berasa simpati melihat keadaan Lydia pantas menyelamatkan Lydia
daripada terus dibuli oleh rakan-rakannya. Namun hari ini, air mata wanita itu
gugur kerananya.
Sejumlah wang diserahkan kepada Latif
untuk menebus dirinya daripada kekuasaan Latif. Itulah yang disebut khuluk’
ataupun tebus talak. Memandangkan Latif tidak mahu menceraikannya sejak
peristiwa malam itu, dan keadaan Lydia yang tidak mahu terus menjadi isteri
Latif lagi, maka Lydia telah menuntut talak daripada Latif melalui mahkahmah
syariah. Wang yang diserahkan kepada Latif adalah sebagai wang ganti rugi dari
buruknya keadaan yang bakal menimpa Latif kerana bercerai dengannya.
Tujuh tahun. Berbagai-bagai ranjau dan
duri dalam kehidupan berumahtangga mereka lalui bersama. Segala kesedihan dan
kegembiraan mereka kongsikan bersama. Namun, hari ini semua itu sudah berakhir.
Semuanya akan menjadi kenangan.
Hanya kerana seorang wanita bernama
Tasya, hari ini semuanya berkahir. Wanita itu benar-benar telah membunuh
cintanya pada Latif. Baru hari ini Lydia melihat gerangan wanita bernama Tasya
itu..
Aku tertipu
Kediamanmu
Yang kuanggap semuanya baik-baik saja
Kutak menyangka
Dibelakangku
Kau tigakan cintaku
Yang hanya kepadamu
Hanya ayat itu yang bermain dibenaknya
setelah melihat senyuman yang terpamir di bibir Tasya saat Latif mengucapkan
lafaz cerai tadi. Senyuam itu seakan-akan mengejeknya. Namun bagi Lydia kini
dia tidak mahu bersengketa. Ini adalah pengajaran buat dirinya.
‘Air yang tenang jangan disangka tidak
ada buaya. Suami yang diam jangan disangka tidak bermain kayu tiga,’ bisik hati
kecilnya.
“Dan tidak halal bagi kamu mengambil
dari sesuatu yang telah kamu berikan kepada mereka, kecuali kalau keduanya
(suami isteri) khawatir tidak akan dapat menjalankan hukum-hukum Allah, maka
tidak ada dosa atas keduanya tentang bayaran yang diberikan oleh isteri untuk
menebus dirinya.”
(Al-Baqarah:229)
:

No comments:
Post a Comment
-Assalamualaikum, sila tinggalkan komen anda.
-Kalau suka tekan LIKE.
-Insyaallah komen anda akan dilayan :)
Terima kasih lepak sini, nanti datang lagi yer..
Sayang Korang...