Showing posts with label cerpen. Show all posts
Showing posts with label cerpen. Show all posts

CERPEN: DIARI UNTUK SUAMI KU..


JAM di dinding menunjukkan sudah pukul 12 malam. Tapi mata aku masih belum mengantuk lagi. Mentanglah esok hari sabtu, pandai pula mataku hendak berjoli sendiri. Lampu meja, ku hidupkan biar menerangi sudut bilikku yang sederhana luas. Bantal aku tegakkan dan menyandarkan tubuh dengan selesa di atasnya.

            Seketika aku terkebil-kebil tidak tahu hendak berbuat apa. Tempat pembaringan di sebelah yang kosong kulihat sekilas. Terus saja aku teringatkan dia. Ya, dia isteriku. Isteri yang aku cintai dengan sepenuh hati. Spontan senyum kecil melirik di bibir. Laci kecil di tepi meja katil aku tarik perlahan. Jelas kelihatan buku skrap yang masih elok keadaannya di depan mata. Aku tarik keluar dengan berhati-hati.

            Saban malam, inilah aktivitiku jika mata sukar dilelapkan. Membaca semula bait-bait kata yang dicoretkan oleh isteri tercinta dalam diari yang dikhaskan buat suaminya. Aku. Diari buat diri aku yang diberi nama, diari buat suamiku. Muka surat pertama aku selak. Masuk ini sudah kali ke berapa aku mengulangnya. Tidak terkira dan tak mampu untuk di kira. Aku membaca setiap barisan ayat yang dicoretkan oleh si dia tanpa rasa jemu.
2 April 2010, 12:45 a.m

Pertama kali Hawa mencoretkan sesuatu dekat sini. Entah bila Hawa nak bagi abang sayang baca nukilan ni… abang sayang (memang selayaknya gelaran ni yang Hawa kena  panggil bagi seseorang yang sudi berkongsi rusuk kirinya dengan diri ini).

Hari pertama menulis, jadi Hawa tak tahu sangat hendak tulis apa. Tak apa, mungkin Hawa boleh kongsikan tujuan Hawa mencatatkan diari ini untuk tatapan abang. Sebabnya, ia adalah hadiah istimewa dari Hawa untuk abang, orang yang selayaknya mengetahui segala rahsia diri Hawa. Hanya abang seorang. Abang nak tahu kenapa? Hawa ada terbaca dalam blog seorang hamba Allah ni, catatan dia… dia mengharapkan jodohnya mendoakan dirinya supaya tidak berputus asa dan tersesat dalam misi mencari jodoh yang tercipta buatnya.
Bila membaca coretan ayat tu, Hawa tak dapat nak halang fikiran Hawa dari teringatkan abang. Abang yang dijanjikan untuk menjadi pendamping Hawa oleh DIA. Hawa ingatkan diri agar terus mendoakan abang supaya dalam mengawal diri dari perkara yang dilarangnya dan berharap kita akan disatukan dalam keadaan yang diredhaiNYA.

Terfikir juga, kalau-kalau abang anggap Hawa ni gila orangnya. Mencoretkan diari sebegini untuk bakal suami Hawa… oh, abang sayang… Hawa tak gila ya! Cumanya otak ini tak berapa nak center sejak teringatkan abang. Dan tolong percaya, di saat ini… Hawa masih tak mengenali siapa diri abang. Semoga dalam setiap coretan yang bakal terkandung dalam diari ini mampu membuatkan abang mengenali Hawa.

Salam dan sayang buat abang,
Nur Hawani.

Abang pun sayangkan Hawa. Ucapku dalam hati. Itu adalah coretan pertama Hawa yang benar-benar memberi kesan dalam hatiku. Barisan ayat yang menekankan tentang harapan bakal isteri mengharapkan bakal suaminya dapat mengawal diri dari segala larangan yang ditegah olehNYA. Tapi aku? Ah… banyak sungguh dosa yang telah aku tempah di muka bumi ini.

Nur Hawani. Sebaris nama yang begitu menggetarkan kalbuku. Si gadis yang sempurna serba serbi. Tarikh bermulanya catatan diari itu diamati. Dan sebenarnya tarikh itulah hatinya telah mula terpaut pada diri Nur Hawani tanpa gadis itu sedari.
Bagaikan masih segar dalam ingatan, pertemuan pertama mereka…

“ENCIK Rizman,” aku berpaling tatkala ada suara yang memanggil namaku. “Bos panggil nak jumpa,” maklum Suriati, setiausaha bos di tempat aku bekerja.
“Orait. Thanks ya,” balasku pendek dan kembali menghala pandangan pada PC di hadapanku.

“Masuk sekarang… bos nak jumpa sekarang.” Suriati macam tahu saja aku nak masuk lambat sikit, lantas digesa aku supaya segera bergerak ke bilik bos. Hendak tak hendak, aku bangun juga melangkah dengan malas menuju ke bilik bos. Nampak sungguh, tak ikhlas langsung.

Pintu bilik yang tertera nama Sufian Usman itu ku ketuk dahulu sebelum masuk.
“Ya bos,” sapaku sambil melangkah masuk. Bos aku yang sememangnya terkenal dengan senyuman memikatnya, tersenyum dengan lebar sekali. Aku menjungkit kening, tak faham. Dia panggil aku suruh masuk, lepas tu aci senyum gaya menang loteri. Apa cerita?

“Duduk dulu Man,” pelawa bos. Aku pun ikutkan saja. Takkan nak berdiri pula kan. Mahu lenguh kaki aku. “Ni… nak habaq…” ucapnya membuka kata. Aku pun lupa nak habaq, bahawasanya bos aku ini adalah orang utara. Loghat utaranya memang tak dapat nak dipisahkan dah. “Ada orang baru untuk deparment kita,” sambungnya dengan sengih gatal di wajah. Ah! Sudah aku duga… mesti Encik Sufian dah kena sampuk dengan hantu keladi, kan dah keluar habis aura miang keladinya.

“Bila lapor diri?” terus aku menyoal. Intro Encik Sufian pastinya panjang lebar dan hanya akan membuang masaku yang begitu berharga.
“Sat lagi.”
“Oh… okey. Bos nak suruh saya buat apa?”

“Macam biasa… Man kan pandai bab-bab nak mengayat ni. Nak minta khidmat nasihatlah ni.” Encik Sufian tersengih lagi. Dan lagi sekali dah aku duga, bab-bab nak menjahanamkan anak dara orang, dia mesti cari aku. Tapi tak apa… aku pun… suka juga. Hahaha. Dah mula tumbuh tanduk dua di atas kepala. Manalah nak selamat anak-anak dara yang datang melapor diri dekat deparment ini kalau ada pekerja dan bos macam buaya tembaga. Tahunya nak NGAP saja.

“Beres bos!” laju saja aku setuju. Orangnya pun belum aku lihat. Mahunya kalau muka macam Mak Temah yang duk jual popia goreng dekat seberang jalan tu, mahu aku pengsan nak mengayat. Bukan pengsan tak reti reka ayat… tapi pengsan sebab aku tak lalu tengok muka dia yang sebijik macam popia goreng juga.

Dan pagi itu aku diperkenalkan dengan pegawai baru yang melaporkan diri di tingkat 18 ini. Amira namanya. Pada pandangan aku, bolehlah… setakat nak tolong reka ayat untuk gadis ini, rasanya semudah kacang peas saja. Tutup mata pun gerenti boleh jalan. Sesudah menurunkan segala ayat dan petua terbaik pada bos, aku kembali bertapa di depan PC. Menyiapkan kerja-kerja yang patut aku siapkan. Haish… penat sungguh. Mana nak kejar dateline proposal. Mana nak kejar gadis-gadis cun lagi. Semuanya hanya membuatkan aku lelah.

“Cik… tumpang tanya,” sebaik saja aku melabuhkan punggung di kerusi, ada satu suara yang begitu menarik pendengaran telinga. Halusnya.

“Amira, pegawai yang baru melapor diri, ada kat sini tak?” soal suara halus itu lagi.
“Yup. Ada dalam bilik bos. Cik cari dia kenapa ya?” suara Suriati menyoal pula. Aku masih belum mengangkat wajah.

“Dia tertinggal handbag dalam kereta, itu yang saya datang nak bagi.”

“Saya boleh tolong bagi sebab cik Amira rasanya lama lagi dalam bilik bos tu.” Untuk jawapan Suriati itu aku tergelak kecil. Pasti saja Amira tersangkut lama dalam bilik bos. Buaya tembaga seekor itu nak mulakan sesi mengayat. Dia tak kira cun tak cun… semua dia main bedal saja. Lainlah kalau aku, pilihan aku mesti kategori yang terbaik punya. Mungkin sebab itu aku masih belum dapat mengayat seorang gadis pun untuk diri aku sendiri.

“Kalau saya nak  tunggu boleh?” soal suara halus yang nyata pada pendengaran aku agak kurang percaya dengan kami yang ada dekat sini. Dia bercakap dengan Suriati, tapi aku pula yang terasa sekali. Eh… eh… perempuan ni. Tiba-tiba aku rasa nak hangin.

“Tak apa cik… lama kalau cik nak tunggu ni. Tak ganggu kerja cik ke?” ayat Suriati nyata tidak mampu hendak yakinkan perempuan bersuara halus itu. Aku dah tak tahan geram. Agaknya dia nampak muka kami macam muka penyamun kot. Sampaikan handbag pun dia tak berani nak tinggal.

Dengan penuh emosi, aku bangun dan mendekati gadis yang membelakangi aku. Huh!
“Cik… tinggal sajalah beg tu. Kami ni bukannya perompak nak rompak beg kawan cik tu,” ucap aku sinis. Aku sudah bersandar pada meja Suriati sekaligus membolehkan aku mencuri pandang ke wajah cik tadi. Dia tunduk. Langsung tak angkat muka. Langsung tak kalih pandang wajah aku yang handsome macam Adi Putra. Adi Putra pun tak handsome macam aku. Aku handsome lagi!

Mata aku langsung tak lepas pandang pada dia yang tertunduk macam nak sujud lantai saja. Macam tahu-tahu pula yang aku nak telek muka dia. Sebab suaranya dah boleh menarik jiwa lelaki aku. Nak juga aku tengok muka dia. Boleh lulus penilaian tak. Kalau lulus, nak aku ‘halau’ dia dari deparment ini sebelum bapa segala buaya muncul di antara mereka.

“Betul kata Encik Rizman ni cik… tinggalkan saja. Saya boleh tolong bagi. Takkan cik tak percaya dengan kami dekat sini,” lembut saja suara Suriati bercakap dengan perempuan tu. Aku mendengus kuat. Dengan orang macam ni, perlu ke bercakap-cakap dengan cara diplomasi begini. Lantas aku tarik saja beg yang berada di pegangan perempuan itu.

Sekuat tangan aku merentap beg itu, sekuat itu jugalah aku rasakan jantung aku direntap saat jelingan tajamnya menusuk masuk ke dalam pandangan mataku. Jelingan yang tidak lebih dari lima saat itu sudah membuatkan aku hilang arah. Tak pernah aku jumpa ciptaan yang begitu indah yang berjaya menggoyahkan hati lelakiku dalam sekelip mata. Dan saat itu aku sedar, bahawa aku sudah jatuh cinta dipanah jelingan mata yang tajamnya benar-benar menusuk ke dalam jiwa.

DAN tidak akan dia lupakan pertemuan itu yang masih kekal dalam minda hingga ke saat ini. Dia juga tidak pernah lupa setiap reaksi dingin yang dipamerkan oleh Hawa tatkala dia hendak memainkan ayat pemburu cinta terhebatnya. Namun tak pernah dia sangka, susahnya nak memikat hati Hawa yang seolah terikat dengan seseorang saja. Tapi siapa? Diari untuk suamiku menjawab segala persoalannya pada ketika itu.
Diselak lagi helaian diari yang masih setia dalam pegangannya.

30 April 2010, 2.30 p.m.

Abang sayang… Hawa nak buat apa ini? Kenapa bila Hawa nak jaga hati Hawa untuk abang seorang, ada saja insan-insan yang hendak mencabuli hak itu? Mungkin dia dalam proses nak mencari bakal jodohnya, tapi kenapa dengan cara begitu. Bukan ke Islam dah menganjurkan cara yang terbaik untuk mencari jodoh. Merisik, meminang, bertunang kemudiannya alam perkahwinan.

Kenapa semua tu seolah ditolak ke tepi dan mereka mengamalkan trend begini? Rasanya… abang pun akan buat macam itu ke? Mengejar si dia dengan sehabis daya walaupun perempuan itu dah berusaha menjauhkan diri? Kalau ya abang pernah berbuat begitu… tidak banyak, tapi pasti ada sedikit rasa kecewa di hati Hawa. Kalau Hawa boleh menjaga hak abang, pasti saja abang pun boleh menjaga hak Hawa. Tak apa, Hawa akan sentiasa doakan abang tak kira di mana abang berada. Semoga abang akan terhindar dari perkara sedemikian rupa.

Salam dan sayang buat abang,
Nur Hawani.

Aku mengeluh kecil. Bait ayat yang tercatit walaupun sudah terakam dalam minda namun aku masih tidak jemu mengulang baca. Manakan tidak, kalau dalam setiap helaian coretan Hawa dalam buku ini adalah mengenai dia. Dia yang begitu gigih mengganggu gadis itu siang dan malam. Tak dapat jalankan misi di pejabat, dia turun padang nak buat ‘kacau’ di rumah sewa Hawa. Tak tersangka, semua itu tercoret dalam setiap barisan ayat dalam diari ini. Memang kaki complain betul Hawa ini. Complain pada bakal suami. Namun bila difikirkan cara Hawa yang begini, nampak manja saja tingkah gadis itu… mengadu pada yang hak katanya. Dan setiap kali dia membaca perkataan abang sayang, hatinya berbunga riang. Sungguh dia benar-benar sayangkan Nur Hawani. Tiada yang lain.

28 Mei 2010, 11:35 p.m.

Abang sayang… berani sungguh dia itu mengacau jodoh abang ini. Hawa dah buntu tak tahu nak buat apa. Gangguan dia hanya buat Hawa rasa tak selesa. Hawa tak suka bila orang menggangu Hawa dengan cara begini. Tak beradab. Tak bersopan. Dia pegang tangan Hawa abang! Hawa marah… dia senyum pula.

Abang… kalau abang berani buat macam itu dengan anak dara orang, siap abang!
Aku tak dapat nak menahan bibir aku dari meletuskan tawa. Aku membayangkan lagi wajah ayu Hawa mengucapkan ayat itu. Siap abang! Aduh… makin aku mengulang baca diari ini, makin bercambah rasa sayangku yang tidak pernah putus untuknya.

Aku akui, aku agak ‘nakal’ orangnya. Lebih-lebih lagi setelah bertemu empat mata dengan Hawa. Aku begitu bersungguh hendak memikatnya. Segala cara aku guna, melainkan cara yang telah disebutkan Hawa dalam diarinya. Mana aku nak tahu dia suka mengunakan kaedah itu. Ala-ala arrange marriage gitu. Kalau aku tahu, tak perlu aku menyakitkan hatinya dengan tingkah aku yang ikut suka hati aku saja. Aku tahu dia tak suka langsung.
Teringat pula pada satu kejadian yang benar-benar membuatkan permaisuri hatiku mengamuk sakan. Tak pernah aku tengok dia angin sehingga ke tahap itu sekali. Selama ini, habis kuat pun… dia jeling saja. Tapi kali ini menunjukkan dia betul-betul marah. Sebab, aku dengan selambanya pergi peluk dia. Mana dia tak marah. Hampir aku hilang ‘nyawa’ jugalah saat dia menghadiahkan penangan hebat di bahagian ‘sensitif’ tubuhku.

Di petang hari, kala awan merenjiskan hujan gerimis ke atas bumi yang kering, aku buat drama swasta. Aku kejar Hawa yang sudah berlari menjauhi aku. Mungkin dia ingat aku nak rogol dia agaknya. Tapi kalau dilihat gaya aku nampak begitulah. Elok dia tengah terpacak seorang diri nak pergi ke tempat parkir kereta. Aku dengan kuasa veto gaya suami dia saja pergi peluk dia dari belakang. Hah, sekali ambik habuan aku!

9 Jun 2010, 7:00 p.m.

Abang sayang… berani-berani dia peluk Hawa, abang. Dia buat Hawa takut. Dia buat Hawa rasa tak nak keluar dari rumah. Hawa rasa, Hawa dah mula bencikan dia. Walaupun Hawa takut nak pupuk rasa benci tu.
Mak selalu pesan dengan Hawa… jangan terlalu membenci, nanti bertukar jadi sayang pula. Hawa nak sayangkan abang seorang saja. Hawa tak nak dia. Dia bukan orang Hawa cari untuk menjadi imam Hawa. Hawa takkan boleh terima kalau abang berperwatakan macam tu. Kenapa orang zaman sekarang dah makin kurang menitikberatkan soal agama? Hawa bimbang…

Hawa harap, abang sayang… jangan begitulah hendaknya. Hawa selalu doa, tak pernah lupa… supaya abang akan sentiasa diberi petunjuk dan hidayah dari DIA. Semoga abang dapat jadi pemimpin keluarga yang soleh. Yang akan dapat pimpin Hawa dan anak-anak kita kelak. (Jauh benar angan-angan Hawa kan?) Jumpa abang pun belum… dah macam-macam pula Hawa berangan.

Kalau dia tahu akan angan-angan Hawa itu, awal-awal lagi dia akan hantar rombongan meminang. Buat susah payah dan buang tenaga saja mengurat gaya kasanova. Bukannya Hawa layan. Berbuih mulut dia menuturkan ayat yang bakal mencairkan hati-hati pendengarnya. Tapi Hawa… nak cair apanya, baru dia nak bergaya romantik, Hawa dah lesap dari pandangan mata.

Masih teringat lagi pada suatu petang itu…

AKU nampak saja kelibat Hawa di perhentian bas, laju saja aku memulas minyak motor Lagenda aku dah berhenti betul-betul di hadapannya. Dalam hati dah pelik, kenapa Hawa ada di stesyen bas? Kereta dia ada masalah ke? Kalau betul ada masalah, aku boleh hantar dia balik rumah. Sempat lagi aku buat planning ikut suka hati…

“Hawa… buat apa dekat sini?” tanpa dapat aku tahan, soalan itu juga yang meluncur keluar dari bibir. Rasa macam nak pergi hempuk saja kepala aku dekat tiang bus stop tu. Bodoh! Dah elok dia duduk dekat bus stop, mestilah tunggu bas… takkan nak beli ikan pula.
Soalan aku tak berjawab. Macam biasa. Dia tak pernah nak jawab sepatah apa pun yang aku tanya. Tapi aku tetap sabar. Sabar dalam nak memiliki hatinya yang terasa sukar saja untuk aku menggapainya. Sambil menanggalkan helmet untuk mempamerkan wajah aku yang kacak itu, aku berjalan merapati diri Hawa. Ini belum insaf lagi lepas dia bagi hadiah tendangan maut dekat aku dua bulan lepas. Aku labuhkan punggung betul-betul rapat dengan dia. Wajah Hawa tersentak. Aku nampak dengan jelas, wajahnya memerah dengan serta merta. Dia marah!

Terus saja dia bangun dan berdiri, mungkin dah berkira nak melangkah dari situ. Tapi aku lagi cepat menangkap lengannya.

“Lepaslah!!!” bentaknya. Buat pertama kali, dia marah aku guna mulut. Sebelum ini tak pernah. Tiba-tiba aku rasa macam dapat bunga saja. Parah betul tahap angau aku pada Hawa. Sampaikan dia marah pun aku rasa bahagia. Kalau beginilah rasa indahnya mendengar suaranya yang begitu mahal untuk aku… dia marah hari-hari pun aku tak kisah.
“Kenapa Hawa nak marah-marah ni? Riz nak berbaik saja dengan Hawa… salah ke?” soalku lembut. Dan secara automatik juga nama samaran aku bertukar jadi Riz. Selama ini elok saja orang lain panggil aku Man. Dengan Hawa… dan-dan aku tukar jadi Riz pula. Bunyinya agak glamour sikit dari Man. Hahaha. Sempat!

“Lepaslah!!!” itu juga yang diulang oleh Hawa. Entah apa masalah dia. Aku tak mengerti pada ketika itu. Susah sangat ke dia hendak berbicara dengan aku?
Bunyi hon yang membingitkan membuatkan aku tersentak. Kereta Nissan Murano berhenti betul-betul di hadapan bus stop itu. Aku nampak ada seorang lelaki keluar dari tempat pemandu. Aiseh… masa itu dah mula mengecut sedikit otot perut aku. Mahu aku kena belasah dekat bus stop ni, jatuh imej!

Dalam pada tengah kecut perut, hampir tersembul saja mata aku bila lelaki itu selamba saja memeluk bahu sayang aku ni. Sayang akulah… Nur Hawani. Naik sakit hati aku melihatnya. Dengan aku, dia bagi penendang. Dengan lelaki itu, dia layan dengan kasih sayang. Mana adilnya penilaian Hawa?

Aku kecewa sungguh. Mentanglah orang itu datang naik Nissan, langsung tak pandang aku ni. Aku pun ada keretalah. Honda Civic lagi. Cuma tak nak tunjuk saja. Bukan apa, takut Hawa pengsan tengok aku guna Honda Civic versi 90-an. Kereta warisan tu, tak boleh nak bertukar sesuka hati.

Akhirnya tanpa dapat berbuat apa, aku melihat saja Nissan Murano itu meluncur laju membawa Hawa aku. Masa itu apa yang aku rasa hanyalah kecewa, sedih, dukacita dan segala yang sewaktu dengannya. Namun tidak lagi setelah aku dapat tahu perkara yang sebenar.

25 Ogos 2010, 10:15 p.m

Abang sayang… hari ini lagi sekali, Hawa kena kacau dengan budak ‘jahat’ tu! Nasib baik tau… along cepat sampai. Sudahlah kereta Hawa rosak. Kesian, terpaksa menyusahkan along untuk datang ambil Hawa. Tapi ada hikmah juga. Hawa nampak muka budak ‘jahat’ tu berubah terus. Lepas ni, dia takkan kacau Hawa lagi rasanya.  Hawa dah boleh senyum lega. (Kalau sekarang ni, Hawa ada depan mata abang… jangan lupa minta Hawa senyum ya. Hawa nak abang tengok betapa indahnya senyuman Hawa untuk abang) =)
Bakal isteri abang ni, perasankan? Hawa pasti… abang pun punya perwatakan yang sama. Perasan juga!

Benarlah kenyataan dan kebenaran itu. Aku memang perasan. Malah sangat perasan. Bila baca Hawa tulis macam itu, aku rasa macam senyuman aku tak nak hilang saja. Ah, rindunya aku pada senyuman manis dia. Memang, keindahan senyuman Hawa tiada tolok bandingannya. Aku harus akui, segala yang ada pada Hawa semuanya indah belaka.
Tangan aku masih ringan lagi menyelak ke muka yang seterusnya. Sempat lagi aku mengerling ke arah jam. Sudah pukul 2 pagi. Bila buka saja diari ini, aku rasa segala mengantuk yang bersarang sudah hilang. Mataku terasa segar. Lantas aku teruskan saja membaca coretan insan yang aku cintai itu.

10 Oktober 2010, 10:10 a.m

Abang sayang… cantikkan tarikh dan waktu dicoretkan perasaan Hawa dalam diari ini? Hawa tengah gembira ni. Mak cakap ada orang nak masuk meminang. Abang ke tu? Hawa doa-doa… semoga inilah yang telah dijanjikan oleh DIA untuk kita. Hawa berharap sangatlah… abang dapat datang sunting Hawa secepat yang mungkin. Sebab, kebelakangan ini… Hawa asyik mimpi yang aneh-aneh saja.

Hawa mimpikan seseorang… mungkin itu abang. Rupanya tak jelas. Tapi Hawa macam pernah tengok saja. Kita mungkin pernah jumpa ya? Hawa teruja sangat nak tunggu hari pernikahan kita. Oh ya… di kala abang membaca diari, tolong jangan rasa pelik sebab Hawa tak nak jumpa abang sepanjang tempoh pertunangan kita. Sebab banyak lagi yang Hawa nak coretkan untuk tatapan dan bacaan abang usai kita menjadi suami isteri yang sah.
Abang… Hawa rasa, abang ada dekat dengan Hawa. Perasaan macam ini mengganggu sebenarnya. Abang rasa ke apa yang Hawa rasa sekarang ni?

Pada tarikh itu rasanya ia merupakan hari yang paling teruk aku pernah alami. Emak masuk meminang anak gadis siapa entah tanpa bertanya pada aku. Tarikh yang tercatat di diari Hawa. Kalaulah aku tahu yang emak pergi pinang itu adalah Hawa, tak perlulah aku nak sakit hati bagai orang gila. Dah tentu-tentu aku rasa gembira saja.

Macam mana emak aku boleh tiba-tiba masuk meminang Hawa? Aku pun tahu dekat-dekat tarikh pernikahan kami. Emak dengan abah Hawa sebenarnya adik beradik sangkut paut dari salasilah datuk dan nenek aku. Aku nak terangkan pun macam terbelit sebab relation dia orang pun agak membelitkan otak aku juga. Itu semua aku dah tak nampak pentingnya. Yang aku nampak… Hawa seorang saja.

Betullah macam Hawa cakap. Perasaan bila berada dekat dengan Hawa memang sangat lain rasanya. Rasa berdebar. Gementar. Boleh jadi sebab ini kot dia tak dapat nak bercakap dengan aku. Sebab dia rasa nervous. Itu yang dia malu nak cakap. Tapi… tak boleh nak kata sahih juga. Sebab dia tak suka pandang pun muka aku ni. Sampaikan dah dekat tarikh nikah pun, dia masih tak tahu yang aku ni calon jodoh dia. Punyalah berpegang dengan azam dia, nak kenal aku lepas sudah sah jadi suami dia.

1 Januari 2011, 12:00 p.m

Abang sayang… hari ni hari pernikahan kita. Hawa dah nampak abang. Pertama kali Hawa sentuh tangan abang dengan rela. Sebab sebelum ini abang yang ambil kesempatan dengan Hawa. Nak tahu apa perasaan Hawa lepas tahu siapa suami Hawa? Hawa kecewa. Hawa kecewa sebab abang langsung tak pernah nak jaga hak Hawa dalam diri abang. Sedangkan Hawa…

Pertama kali Hawa jumpa abang di pejabat, Hawa rasakan debaran yang meresahkan jiwa Hawa. Tapi Hawa tolak semua tu. Hawa tak nak terleka dengan cinta yang Hawa tak pasti adakah abang pemiliknya.

Setiap kali abang menghampiri Hawa… tak dapat dinafikan, rasa benci makin memuncak. Hawa memang tak pernah berniat nak bencikan diri abang, sebab Hawa takut Hawa terjatuh suka. Hawa minta maaf dengan  abang… Hawa dah berjanji, Hawa akan cintakan suami Hawa saja, tapi tanpa Hawa sedar… sebenarnya sudah ada rasa kasih dalam diri Hawa untuk abang. Mujur saja abang pemilik rusuk yang berkongsi dengan Hawa. Kalau tak… Hawa tak tahulah.

Abang… Hawa harap perkahwinan ini adalah lembaran baru dalam hidup kita. Segala yang Hawa coretkan dalam diari ni, hanya untuk tatapan abang seorang saja. Segala nukilan ini adalah untuk bacaan abang saja. Dan ini adalah kali terakhir Hawa menulis untuk abang. Lepas ini takkan ada dah… sebab, Hawa dah ada abang di depan mata Hawa.
Siapa pun abang sebelum ni... teruk macam mana pun sikap abang sebelum ni, Hawa takkan mengungkit sebab Hawa nak kita sama-sama cari keredhaan Allah dalam hubungan suci ini. Hawa nak kita sama-sama dekatkan diri dengan DIA supaya diberkati hubungan yang halal ini.

Dan sebagai penutup kalam… diari untuk suamiku, Hawa bimbang tak sempat nak luahkan secara bersemuka dengan abang perkara ini… apa yang Hawa rasakan pada saat ini. Setelah hampir dua jam menjadi Puan Nur Hawani, Hawa rasa… perasaan yang sangat indah.
Buat suamiku, Muhammad Rizman Huzaimi… Nur Hawani Bazli sangat mencintai abang. Dari detik ini dan insyaAllah, akan kekal hingga ke sana. Selamat pengantin baru abang sayang…

Ingat ya, Hawa sangat sayangkan abang =)

Salam dan sayang untuk abang,
Isteri abang, Nur Hawani.
Abang ingat sayang. Abang akan sentiasa ingat yang sayang sangat sayangkan abang. Ucapan itu disahut hatiku. Hatiku sudah mula dibanjiri rasa pilu. Mataku berkalih semula ke sebelah katilku yang kosong. Dan tidak pernah berpenghuni pun selama ini. Bagaimana hendak diungkapkan apa yang bersarang dalam hati, di kala bahagia melingkari diri, segala sudah ditarik kembali.

Allah Maha Kuasa. Dia lebih sayangkan Hawa. Dan catatan terakhir Hawa adalah benar-benar hari terakhirnya bernafas di muka bumi ini. Dalam sekelip mata saja Hawa sudah tiada. Hawa meninggal dunia usai menunaikan solat zohor di rumahnya sebelum berangkat ke majlis persandingan kami. Dia pergi meninggalkan aku mengharungi hari-hari mendatang membawa gelaran pengantin baru itu dengan seorang diri. Saban malam aku menangis. Saban malam aku merintih.

Yang aku ada untuk dikenang, hanyalah diari Hawa yang membuatkan aku seolah berbicara dengannya. Hanya ini saja yang membantu aku mengenali diri isteri aku. Walaupun dia tidak pernah berbicara dengan aku walau sepatah pun semasa nyawanya masih ada, tapi segala coretannya sama seperti dia sedang berbicara denganku. Luahan hatinya yang membolehkan aku tersenyum juga walaupun hati bersalut duka ketika terkenangkan dia.
Setiap catatan Hawa pasti ada menyebut, Hawa akan doakan abang. Tak lupa sekalipun. Sekarang ini tanggungjawab aku pula… abang akan doakan Hawa. Semoga dicucuri rahmatNYA. InsyaAllah, nantikan abang di SANA sayang… abang sangat mencintai sayang. Muhammad Rizman sangat mencintai Nur Hawani. Biarpun kita tak dapat berdamping di dunia untuk tempoh yang lama… insyaAllah, semoga sayang akan menjadi pendamping abang di SANA kelak.

            Tanpa aku pinta, air mataku sudah mula menitis. Perlahan aku menutup semula ‘diari untuk suamiku’ yang selamat berada dalam simpanan aku sudah tiga tahun lamanya. Aku letakkan ia di sisi katil yang juga memuatkan gambar pernikahan aku dan Hawa. Senyuman manis itu tak akan sirna dari ingatan sampai bila-bila. Itulah senyuman yang paling manis Hawa hadiahkan buat diriku. Buat dia yang bergelar suami Hawa. Dan benarlah kata Hawa… senyuman yang terukir di wajah itu sememangnya sangat indah dan tiada tolok bandingannya.

CERPEN SERAM SUAM2 KUKU : "HAI ABG LAPTOP"


“Hai Abang Laptop… tengah buat apa tu?” Diam sahaja dia tak menjawab. Fazura termenung sejenak. Abang Laptop ni buang tabiat ke? Fazura datang pun buat tak layan.


“Laptop saya dah siap ke belum?” Soal Fazura wanita bermata bundar yang suka sangat mengganggu Abang Laptop yang sedang bekerja. Dia yang berdiri di luar pejabat Abang Laptop tu tersengih-sengih macam kerang busuk sambil menyental rambut yang ikal mayang.

Sibuk bertanyakan laptopnya yang dikatakan sering rosak. Oleh kerana mahu ia dibaikpulih maka dia seringkali menghantarnya kepada Abang Laptop. Abang Laptop pada pagi ini macam ada masalah. Wajahnya berkerut sahaja ketika sedang pateri litar pada motherboard laptop. Begitu serius ketika bekerja, patutlah tidak melayani kehadiran Fazura.

“Sampai hati tak layan kita.” Nada Fazura merajuk.

Memang lelaki yang berambut lurus berbadna tegap itu tidak mahu melayani Fazura ketika kusyuk bekerja. Lagipun hari-hari dia nampak wajah Fazura. Sudah naik bosan. Tambah lagi, kes laptop milik gadis itu. Bukan ada banyak masalah apa pun tapi entah macam mana si wanita comel itu menggunakannya pun dia tak tahu. Asyik hanging sahaja. Bila minta digantikan hard disk, (cekera keras) Fazura tak mahu. Katanya terlalu mahal.

Abang Laptop itu pun bangun dan melangkah ke arah Fazura tapi sedikit pun tak pandang Fazura. Apa masalah Abang Laptop ni?

“Abang!” Bentak Fazura tapi tiada respon.

“Hurm…” Akhirnya terdengar Abang Laptop mengeluh. Tersenyum Fazura sambil pandang wajah yang kacak dengan lesung pipit itu. Oh Abang Laptop…

“Kenapa dengan abang ni?”

“Berhenti daripada panggil aku dengan nama tu.”

“Nak panggil jugak!” Fazura berdegil.

“Sekali lagi kau panggil aku dengan nama tu, aku tak akan layan, faham?”

“Tapi saya kan pelanggan Abang Laptop, abang kena layan saya sebab saya tahu abang sayang saya.”

“Gila.”

“Memang saya gila. Saya gilakan abang.”

Perempuan ni meroyan ke apa? Tergila-gilakan aku ni apasal? Abang Laptop membelek-belek fail di rak. Ia adalah untuk catatan.

“Abang cari apa?”

“Cari pasal.”

“Saya pun cari pasal. Abang cari ni, kan?” Fazura tunjukkan fail rekod pelanggan. Laju betul tangan gadis itu mencuri fail orang. Sakitnya hati Abang Laptop.

“Bawa sini! Kenapa usik barang orang?” Marah Abang Laptop.

“Sebab abang dah usik hati saya.” Selamba tutur Fazura.

Sesaknya nafas di pagi ini. Kehadiran gadis bernama Fazura itu membuatkan Abang Laptop kehilangan tumpuan bekerja. Awal-awal pagi sudah datang ke premis perniagaannya semata-mana nak tahu kerosakan laptop. Baru sahaja hantar petang semalam, pagi ini sudah nak tengok siap. Gila ke apa? Kena ikut giliran la!

“Bila masa aku usik hati kau, hah?” Abang Laptop dah naik muak dengan gelagat Fazura yang tidak tahu malu itu.

“Dengan kekasaran abang. Saya suka lelaki yang garang macam abang.” Ucap Fazura. Dalam masa yang sama, Abang Laptop cuba merampas kembali fail itu tetapi gagal. Laju pula Fazura mengelak.

“Kau ni dah lah masuk pejabat aku sesuka hati. Lepas tu rampas barang aku. Apa kau ingat kau ni pihak berkuasa ke?” Bebel Abang Laptop dengan kening lebat terangkat.

Kadangkala perempuan ni nampak pelik. Bila sudah suka dekat seseorang maka kesengalan akan terserlah. Bila tak suka lagilah nampak sengalnya. Sekarang kenapa aku? Kenapa aku yang dia asyik kacau? Bisik hati Abang Laptop.

“Pintu tak berkunci, jadi saya masuklah.” Begitu mudah jawapan Fazura.

“Kalau tak berkunci main terjah aje lah ye? Apa kau fikir pejabat aku ni rumah tumpangan ke?”

“Saya tak cakap, tapi dah macam rumah tumpangan pun. Abang tak pernah balik rumah, kan? Abang tidur sini.” Ujar Fazura. Segalanya diselidik. Huh!

“Wei, suka hati akulah nak tidur mana pun. Yang kau banyak cakap ni kenapa?”

“Okey, laptop saya dah siap ke?” Fazura ubah topik terus bertanya mengenai laptop.

“Ini kali terakhir aku repair laptop kau. Selepas ni jangan rosak lagi. Tunggu sini!”

Abang Laptop terus masuk semula ke pejabat dan mengambil laptop kepunyaan Fazura. Kemudian diberikan kepada Fazura. Fazura letak fail di atas rak semula kemudian mengambil bungkusan yang dihulurkan oleh Abang Laptop.

“Abang!!!”

“Apa?”

“Kenapa macam ni?” Fazura geram.

“Apa?”

“Kenapa laptop saya jadi macam ni?” Marah Fazura kerana laptop itu barai. Ia tidak dipasang semula setelah dibuka satu persatu. Ambik kau! Dah nak sangat. Laptop belum siap tapi sibuk nak ambil. Sekarang rasakan.

Fazura terus menangis . Abang Laptop terus memeluk Fazura. Di saat Fazura menangis, Abang Laptop turut menitiskan air mata. Dia terpaksa melalui hari-hari sedemikian demi membahagiakan Fazura. Kerana terlalu sayang dan cinta, dia rela. Rela menjaga Fazura.

Tidak jauh dari sudut itu, seorang ibu tunggal turut bergenang air mata. Air mata yang penuh dengan kekecewaan. Seorang ibu yang tidak mampu berjalan. Hanya duduk di atas kerusi roda sahaja.



Lima tahun lalu…



“ABANG… Zura sayang sangat-sangat pada abang.”

“Abang juga sayang. Walaupun abang diberikan segunung emas, abang takkan tukar awak, Zura.” Ucap Abang Laptop.

Cinta mereka berputik ketika Fazura perlukan bantuan. Laptop Fazura ada masalah saat dia perlu menghantar tugasan terakhir kepada pensyarah. Dokumen penting ada dalam laptop itu. Kehadiran Fazura ke premis perniagaan Abang Laptop mengundang cinta pandang pertama. Abang Laptop terpesona dengan kecantikan gadis itu. Tapi sengaja menyembunyi perasaan itu.

Bukan senang hendak memenangi hati Fazura. Tapi lama kelamaan kerak nasi akhirnya lembut direndam air. Percintaan terhalang oleh orang tua. Itu biasa terjadi dan Abang Laptop mengharunginya dengan penuh tenang dan sabar.

“Kau mana layak kahwin dengan anak aku!”

“Tapi saya mencintai Fazura, pak cik.”

“Cinta dan dengan motor cabuk kau tu, mana boleh beri anak aku kebahagiaan.”

Dari jauh Abang Laptop datang dengan motosikal semata-mata merisik sendiri si anak gadis yang dicintai. Dari Terengganu ke Segamat hanya dengan motosikal. Sanggup meredah hujan ketika dalam perjalanan. Sesampai di sana pun Abang Laptop demam.

Halangan itu terpaksa ditempuhi. Fazura yang mendengar kata-kata ayahnya terus mendakap ibu di tempat yang terlindung. Fazura sengaja mahu mendengar ucapan mereka dan ternyata ia mengecewakan.

“Abang… bawa Zura pergi bang. Culik Zura bang.” Fazura merayu.

“Abang dah tak dapat buat apa-apa sayang.” Abang Laptop hampa. Wajahnya berkerut seribu.

Fazura juga terkilan. Selama ini dia terfikir ayahnyasporting tetapi ternyata ayahnya tidak merestui perhubungan dia dengan Abang Laptop.



***



ABANG Laptop sibuk dengan kerjanya di kedai itu. Dia mesti menyiapkan kerja yang tertangguh itu sehingga lewat malam. Dia tidak mahu pelanggan tertunggu-tunggu bahkan dia mahu siap dalam waktu yang dijanjikan. Sedang dia sendirian di situ, elektrik tiba-tiba terputus.

“Huh!” dia tiba-tiba geram sendiri. Baru nak siap tapi elektrik pula terpusuts. Oleh itu dia mengumam geram.

Dia ambil lampu picit di dalam laci lalu dihidupkan. Dia kembali ke DB untuk menghidupkan kembali elektrik. Sesudah itu lampu kembali menerangi ruang kedai kecilnya.

Apa yang dia lakukan sebenarnya serba tidak kena. Semenjak lamarannya ditolak, hati dan perasaannya tidak tenteram walaupun dia cuba menelannya namun tetap terasa pahit. Dia mengalihkan perhatina dengan fokus pada kerja.

Dia melangkah semula ke meja kerja dan lampu picit dimatikan. Dia melihat jam di dinding, pukul 1 pagi. Matanya masih terang kerana tadi dia telah bancuh secawan kopi dan meminumnya agar dia tidak cepat mengantuk.

Tidak semena-mena pintu kedai diketuk. Dia menoleh. Entah siapa yang datang pada waktu pagi begini. Dia selak langsir tingkap, tiada orang di hadapan pintu itu. Dia berpaling lagi dan selangkah dia maju, pintu itu diketuk lagi.

“Siapa tu?” Tanya Abang Laptop.

Diam.

Cuaca tiba-tiba dingin menjarum tubuh. Dia mengeluh setelah merasa seram sejuk. Tiba-tiba sahaja bulu romanya merinding. Peluh menitis laju setelah terbit dari liang-liang roma.

Sekali lagi pintu diketuk dan dia melangkah semula mendekati pintu itu. Pintu tidak henti-henti diketuk dan dengan perlahan-lahan dia menghulurkan tangan untuk memulas tombol pintu masuk utama itu. Ketukan itu terhenti dan tangan dia kaku. Dia berkira-kira sama ada mahu membukanya atau pun tidak.

Perasaan ingin tahu membuak-buak lantas dia membuat pilihan untuk membukanya. Pantas dia membuka pintu itu lalu dia menjengulkan kepala menolah kiri dan kanan. Tiada sesiapa. Huh! Siapa yang main-main ni? Dia manu menutup semula pintu. Tidak diduga…

“Tolong baiki laptop saya…”

“Hah?” Tersentak Abang Laptop awal pagi begini ada orang minta baiki laptop. Dia menoleh lagi tapi tiada siapa. Bila dia berpaling untuk beredar lampu terpadam lagi. Dia segera mendapatkan lampu picitnya dalam kesamaran malam. Cepat-cepat dia hidupkan lampu picit itu tapi saat dihalakan lampu tersebut benda itu betul-betul sudah berdiri di hadapannya. Rambutnya panjang, wajahnya buruk, matanya keluar darah dan baunya sangat busuk seperti bangkai yang terbiar. Sungguh menusuk rongga.

“Pergi!!!” Abang Laptop terperanjat lalu menghalau benda itu. Dia dikejutkan lagi dengan bunyi telefon. Ketika dia tersentak, lampu kedai terus kembali sedia kala. Dia memandang telefon bimbit di atas meja bersama resah dan gelisah.

Huh! Dia melepaskan nafas lega. Ibunya telefon.

“Sulaiman… kenapa kau tak balik lagi ni, mak risaulah…” Sudah besar panjang pun Abang Laptop masih dirisau ibu. Dia banyak kerja jadi terpaksa pulang lewat.

Lambat Abang Laptop mahu beri maklumbalas kerana jantungnya masih berdebar. Jawapan belum diberikan.

“Sulaiman…” Panggil ibunya.

“Nanti Sulaiman balik mak, nak habiskan kerja sikit lagi ni.” Alasan diberikan kepada ibunya.

“Jangan lewat sangat, mak tak sedap hati ni.” Ramlas menyuarakan kebimbangan.

“Tak ada apa-apa mak…” Balas Abang Laptop.





***



“SAMPAI hati ayah buat Zura macam ni.”

“Jadi kau nak lawan cakap ayah kau ni ke? Zura, ayah bagi kau pendidikan untuk kau tahu menilai tapi bukan memilih untuk hidup dengan lelaki tu. Entah betul ke tidak dia berniaga.” Zahir tidak berkenan dengan Abang Laptop.

“Saya yakin ayah, dia boleh jaga Zura.”

“Ayah tak setuju kau kahwin dengan dia. Kau boleh cari lelaki yang jauh lebih baik dari dia. Kau belum tamat mengaji lagi dekat Uitm Dungun tu! Kenapa gatal nak kahwin, hah?!” Bentak Zahir yang geram, anaknya jatuh hati pada orang sana dan bukannya sibuk mencari ilmu.

“Mak…” Fazura menoleh pula pada ibunya, Rasidah. Rasidah mengeluh seolah-olah tidak mampu membantah keputusan si suami. Kalau diukur dari luaran, memang Abang Laptop nampak baik, tapi kebaikan sahaja tidak cukup menjaminkan kebahagiaan jikalau tiada harta. Gelengan ibunya juga amat mengecewakan Fazura.

Zahir terus keluar dari rumah dan pergi entah ke mana membawa kemarahan di dalam hati mengenangkan sikap Fazura yang sangat degil itu.

“Kenapa ayah tak suka pilihan Zura, mak?” Air mata Fazura tegar menitis.

“Zura… kenapa kau buat macam ni? Kenapa kau sanggup buat ayah kau terkilan dengan kamu? Mak faham perasaan kau tapi kenapa kau tak boleh tunggu selepas kau tampat pengajian dekat sana dulu?” Rasidah menggosok bahu anaknya.

“Zura sayang dia.” Tulus ucapan Fazura yang tidak tertahan menanggung seksa rindu. “Sekarang ni dia tak angkat call Zura, tak balas SMS Zura. Semua sebab ayah mak. Ayah dah buat dia kecewa.” Fazura sebak.

Kedua-dua belah bahu Fazura dipegang Rasidah. Rasidah mahu Fazura melihat kedalam matanya.

“Dengar sini, mana yang menjadi keutamaan kau, keluarga atau lelaki tu?” Rasidah mempersoalkan tentang pilihan itu. Dia mahu Fazura buat keputusan.

Fazura diam. Jiwanya kacau. Pilihan jawapan yang sukar untuk ditentukan. Menjadi anak tunggal dalam keluarga ini memang menyukarkan keadaan.



***



ABANG Laptop bermenung sendirian di kerusi malas. Sekejap dia mengeluh melepaskan rasa kecewa. Risikan dia pernah ditolak mentah-mentah. Fikirannya masih terganggu malah emosinya juga tidak menentu. Cerita malam tadi juga tidak dikongsi bersama ibunya. Barangkali itu hanyalah permainan perasaannya sahaja.

“Sulaiman…” Terdengar suara ibunya menyebut namanya.

“Ya mak.” Abang Laptop menoleh dan terus bangun dari tempat dia bermalas-malasan di senja hari.

“Tak baik kau bermenung macam ni, Sulaiman.” Ujar Ramlas yang malam tadi begitu risaukan anaknya yang sejak kebelakangan ini lebih banyak diam daripada banyak bercakap. Abang Laptop mengukir senyuman palsu.

“Tak ada apa-apa mak. Bukan menung apa, Sulaiman hanya fikirkan macam mana nak majukan perniagaan Sulaiman tu aje mak.” Abang Laptop berbohong.

“Kenapa Sulaiman nak tipu mak?”

“Eh, tak mak. Sulaiman tak tipu. Sulaiman cakap benda betul ni mak.” Abang Laptop tetap mahu mempertahankan kepalsuan.

“Mak tahu, kau terfikirkan Fazura.” Telahan Ramlas memang tepat.

“Hurm…”

“Sulaiman… jodoh kita dah ditentukan Allah, kalau Fazura itu adalah jodoh kamu, dia akan kembali kepada kamu. Tapi kamu kena redha kalau Fazura itu bukan jodoh kamu.” Ucap Ramlas sambil tepuk bahu Abang Laptop.

“Tapi Sulaiman rasa terhina, mak. Sulaiman akan buktikan bahawa Sulaiman juga boleh berjaya.” Ujar Abang Laptop penuh yakin.

“Mak yakin, kamu boleh. Tapi kamu mesti ada seseorang yang boleh berikan kamu semangat.”

“Mak adalah semangat Sulaiman.” Ucap Abang Laptop yang mengharukan hati si ibu yang mengandung, melahirkan dan menyusunya sehingga besar panjang. Kini masa untuk Abang Laptop membalas jasa ibu kesayangan. Ayah dah lama tak ada, kini tinggal dia dan ibu sahaja. Adiknya juga sudah lama meninggal dunia akibat demam denggi berdarah.

“Abang…” Tersentak Abang Laptop dan Ramlas melihat seorang gadis berdiri di hadapan rumahnya.

“Zura?”



***



RAMLAS memandang wajah hambar Fazura yang kesedihan di atas keputusan bodoh yang dibuat. Kenapa Fazura bertindak begini? Abang Laptop juga kehairanan.

“Kenapa Fazura buat macam ni?” Ramlas menyoal Fazura yang duduk di kerusi. Abang Laptop menoleh ke arah ibunya sementara Fazura pula tunduk bermain dengan jari jemari.

Memang tidak manis dipandang orang anak gadis tinggal di rumah ini yang ada anak teruna. Tapi Fazura berkorban rasa datang ke situ.

Kelihatan Fazura enggan menjawab pertanyaan Ramlas lalu Ramlas memandang Abang Laptop. Abang Laptop seolah-olah mengerti maksud pandangan mata itu. Segera dia bangun dan masuk ke dalam bilik. Fazura malu agaknya bila Abang Laptop ada di situ.

“Zura…” Sebut Ramlas.

“Sebenarnya, Zura sayangkan Abang Laptop, Zura betul-betul mencintai anak mak cik tu. Zura pun tak tahu kenapa.” Fazura tidak langsung ralat menyebut nama itu. Terkadang Abang Laptop mahu tergelak. Fazura suka panggil begitu.

“Tapi Zura tak boleh buat macam ni. Nanti mak dan ayah kamu bimbang.” Ramlas risau dengan keadaan sekarang.

“Zura tak tahu.”

“Zura jangan ikutkan hati dan perasaan sangat. Mak cik tak nak masalah timbul dikemudian hari nanti.” Ramlas tidak mampu hendak menangkan sesiapa.

“Kalau Zura tak dapat kahwin dengan Abang Laptop, tahulah apa Zura nak buat.” Kata Fazura memeranjatkan Ramlas.



***



“ABANG! Anak kita terlantar di hospital besar Kuala Terengganu bang!”

“Biar! Biar dia mati. Dia dah mengaibkan keluarga kita.” Zahir marah. Dia tidak tahu apa yang diucapkannya itu merupakan satu doa.

“Tapi dia cuba bunuh diri!” Marah Rasidah pada suaminya yang suka cakap lepas sahaja tanpa berfikir. “Fazura telan racun tikus! Tahu tak?!” Sambung Rasidah lagi.

“Hah?” Zahir baru tersedar dari berkata-kata marah. Tersentak anak perempuannya itu buat hal yang sangat keji. Kenapa nak bunuh diri? Tak ada agama ke? Bermacam-macam yang berlegar di benaknya.

“Sulaiman call, beritahu saya.”

“Tapi abang rasa, ini macam rancangan mereka aje untuk dikahwinkan. Budak-budak zaman sekarang penuh dengan muslihat!” Zahir tetap nak menang. Dia berfikir lagi. Mungkin mereka sengaja mencipta alasan yang tidak munasabah.

“Sekarang ni bukan soal jodoh yang saya bimbang, tapi nyawa anak kita. Kita yang malu nanti bang kalau anak kita betul-betul mati bunuh diri. Dia satu-satunya anak perempuan kita bang. Sampai bila abang nak ego macam ni?” Rasidah mengenang air mata bimbang.

Zahir mati kutu. Sungguh tidak terduga anak gadisnya semakin melampau. Mahu atau pun tidak dia mesti ke Terengganu!

Diberikan ilmu tapi cetek pula pemikiran. Bertindak terburu-buru tanpa memikirkan perasaan orang tua. Memang mengharukan hidup kedua-dua orang tuanya. Tepi kerana cinta, mereka sanggup buat apa sahaja termasuklah mengorbankan diri sendiri tanpa fikir panjang, tanpa fikir baik dan buruk, dosa atau pahala.

“Anak kita tu macam dah tak ada iman!” Bebel Zahir.

“Tu la abang, sepatutnya abang tak perlu halang kehendak hatinya. Sekarang tengok apa dah jadi.”

“Masalahnya sekarang, kenapa dia tak pilih orang lain je?”

“Eh! Kalau saya juga pilih orang lain, abang bahagia tak?”

“Apa awak merepek ni?” Zahir mengerling sambil bergegas mendapatkan kunci kereta. Sempat lagi mereka berdua bertengkar.

“Saya tak merepek.” Jawab Rasidah.

“Anak kita tu memang dah pelik.” Balas Zahir.

Di dalam kereta, ada wanita berambut panjang mengurai duduk menumpang ikut bersama ke destinasi tujuan Zahir dan Rasidah.



***



“ZURA, bangun…” Abang Laptop merayu-rayu supaya Fazura sedarkan diri. Dia menemani Fazura yang sedang kritikal. Kenapa tergamak Fazura bertindak bodoh sedemikian rupa?

Fazura masih koma. Ramlas menarik tangan Abang Laptop lalu dibawa keluar untuk berbincang sesuatu. Sebagai seorang ibu, Ramlas dapat merasa sesuatu.

“Cakap jujur dengan mak. Apa yang kau dah buat?”

“Sulaiman tak buat apa-apa pun mak.”

“Jangan bohong mak.”

“Betul mak. Sulaiman tak buat apa-apa pun.” Abang Laptop tidak tahu apa yang dimaksudkan ibunya.



***



“SETUJU apa pun tidak, Fazura tetap akan jadi milik saya, pak cik.” Abang Laptop nekad.

“Aku tak akan walikan dia untuk kahwin dengan kau. Kau memang tak layak.” Zahir bertengkar dengan Abang Laptop di sebuah kedai.

“Tapi saya mencintai dia.”

“Kau nak kenyangkan dia dengan cinta kau tu ke? Kau tinggal di rumah pun nak roboh, ada hati nak kahwin dengan anak aku? Kau cerminkan diri kau tu dulu. Kau ambil duit ni, kau tinggalkan dia. Jangan ganggu hidup dia.” Ucap Zahir menukarkan wang dengan cinta.

“Saya tak nak wang pak cik.” Balas Abang Laptop.

“Sekarang anak aku dah tak nak ikut aku balik. Semuanya sebab kau. Dia dah jadi anak durhaka.”

“Cuma satu aje caranya untuk pakcik lepaskan dosanya. Izinkanlah saya yang menanggungnya pula.” Balas Abang Laptop.

“Kau jangan cakap pakai kepala lutut. Apa yang aku nak, kau jauhi anak aku, faham?” Zahir bangun dcengan wajah kemerahan dan meninggalkan Abang Laptop terpisat-pisat di situ.

Zahir meninggalkan Zahir cek RM20 ribu untuk menukar cinta. Wang bukan segala-galanya. Dia tidak mahu menerima wang itu. Dia mengejar langkah Zahir. Dia mahu pulangkan wang itu tetapi tiba-tiba dia terlihat orang berkumpul. Cepat-cepat Abang Laptop melihatnya.

Alangkah terkejutnya, Zahir dilanggar. Kepalanya terputus tangan juga putus. Kes langgar lari oleh sebuah kereta yang dikatakan dipandu secara berbahaya. Fazura masih koma tetapi Zahir pula telah kehilangan nyawa di tempat kejadian. Bagaimana untuk dia beritahu pada isteri dan anak Zahir nanti? Argh!

Terdapat bayang-bayang tanpa jasad di sisi mayat itu. Mereka yang berada di situ langsung tidak perasan bayang-bayang itu milik siapa?



***



“ABANG!!!” Rasidah masih tidak dapat menerima kenyataan, suami tercinta telah mati. Mati dalam keadaan mengerikan. Rasidah ditenangkan oleh Ramlas. Dugaan hidup sangat perit.

“Kau bunuh suami aku! Kau pembunuh!” Rasidah menyalahkan Abang Laptop. Tidak semena-mena orang yang membantu dipersalahkan. Sungguh perit untuk Abang Laptop menelannya.

Malam yang cukup tegang itu mengundang resah di hati Abang Laptop. Entah kenapa jiwanya bertambah kacau. Dia melihat jasad Zahir bangkit terduduk. Terperanjat Abang Laptop tambah lagi dimarahi oleh Rasidah tidak tentu hala mengatakan dirinya telah membunuh Zahir. Penat-penat dia datang dari jauh semata-mata melawat jenazah Zahir sebelum disemadikan.

Beberapa kali lampu rumah Rasidah terpadam sendiri menyebabkan mereka berasa sedikit panik tetapi masih meneruskan bacaan surah Yasin.

Setelah selesai pengebumian Zahir, pada malam itu juga Abang Laptop membuat keputusan untuk pulang ke Dungun. Dalam perjalanan itu, dia ditemani seseorang yang dia sendiri tidak tahu. Kadangkala motosikalnya berasa berat namun dia ketepikan perasaan takut itu.



***



“CUKUPLAH Sulaiman. Cukuplah dengan apa yang kau dah buat. Mak sudah tidak sanggup lagi melihat penderitaan Fazura. Janganlah kau berdendam lagi dengan keluarga Fazura.” Ramlas menasihati.

“Mak… Sulaiman tak buat apa-apa pun.” Balas Abang Laptop di ruang tamu.

“Kenapa kau sanggup buat semua ni, Sulaiman? Kita ada Tuhan, kita mesti mengadu pada Allah. Bukan pada benda-benda karut. Mak tahu kau mengamalkan sesuatu yang salah. Setiap malam mak bau kemenyan, Sulaiman.”

“Apa yang mak merepek ni?”

“Mak tak merepek. Kenapa kau seksa dia sampai macam tu?” Ramlas seolah-olah menyalahkan Abang Laptop di atas apa yang berlaku.

Abang Laptop bangun dan dia berdiri di hadapan ibunya. Riak wajahnya tiba-tiba berubah. “Mak macam nak bela orang yang menghina saya dan keluarga kita? Mak nak sayang dia?”

“Tapi kenapa sampai macam ni Sulaiman. Masya-Allah.”

“Mak tanya saya orang yang dah lama mati kerana bersabar?” Jawab Abang Laptop.

“Masya-Allah, Sulaiman. Mengucap nak.”

“Sulaiman dah lama bersabar mak!” Bentak Abang Laptop sambil menghayunkan tangan ke kiri dan ke kanan seperti seorang yang sedang bercakap dengan langit.

“Tolong lepaskan Fazura.”

“Saya mencintai dia mak. Kalau saya tak dapat dia, orang lain pun tak boleh dapat.”

“Allahu Akbar.” Ramlas bergenang air mata.

“Saya tak akan benarkan orang lain rampas Fazura.” Abang Laptop terus melangkah untuk keluar.

“Kau nak ke mana?” Ramlas cuba halang. Dia bimbang kalau Abang Laptop buat perkara yang bukan-bukan nak merumitkan lagi keadaan. Ramlas sudah bingung. Dia mengejar Abang Laptop tetapi Ramlas tergelincir tangga. Abang Laptop langsung tidak menyedari ibunya terjatuh.

Dia terus ke sebuah tempat berjumpa seseorang. Di situ dia rasa tidak sedap hati. Kenapa semua ini berlaku pantas.

“Apa yang dah berlaku?”

“Kau langgar pantang.”

“Pantang?”

“Kau tengok melawat orang mati!”

“Bila saya buat macam tu?!”

“Kau jangan pura-pura lupa.”

Barulah Abang Laptop ingat dia melawat Zahir.

“Apa saya nak buat sekarang?”

“Kau tiada pilihan. Hanya menunggu derita mendampingimu.” Beritahu bomoh berkepala botak.

“Takkan tak ada cara lain?!” Peluh Abang Laptop menitis laju. Dia menahan debaran. Dia tidak mahu mati.

“Ada… kau tidak akan mati melainkan dia yang mati!” Kata tok bomoh itu. “Kau tunggu sahajalah kematian dia kalau minyak itu tidak kau kembali pada aku.” Sambung bomoh itu.

Laju Abang Laptop tinggalkan kawasan itu dan segera dia mencari tempat ditanamkan benda itu. Tetapi malangnya tidak ada. “Mana?! Mana?!” Abang Laptop cemas.



***



“HANYA selepas kematian Fazura dia jadi begitu.” Ucap Ramlas kepada Rasidah. Fazura telah menghembus nafas terakhir di hospital gara-gara cubaan membunuh diri.

Rasidah turut menangis teresak-esak. Dia kehilangan suami dan anak. Ramlas juga telah lumpuh akibat peristiwa lima tahun lalu. Setiap hari dia seringkali melihat Abang Laptop bercakap sendiri. Katanya bercakap dengan Fazura. Fazura setia dengannya.

“Saya tak sangka.” Rasidah menangis lagi.

“Tolong maafkan anak akak tu, Sidah. Dia dah terpesong. Kerana dia terlalu ikutkan kehendak hatinya. Dia terlalu mencintai Fazura.” Ucap Ramlas sekilas dia melihat gelagat Abang Laptop ke hulur ke hilir di pondok buruk sebelah rumah. Rumah itu dalam halusinasi Abang Laptop adalah tempat perniagaan.

Ramlas terkilan dengan sikap anaknya itu, Abang Laptop anak yang baik tetapi terpengaruh dengan bisikan hati sendiri. Betapa iman anaknya itu goyah dan tidak redha dengan apa yang dilalui sebelum ini.

“Saya tak faham kenapa dia boleh jadi macam tu, kak?” Rasidah masih bergenang air mata.

“Selepas arwah suami kamu menolak risikan dia, maka dia hilang punca. Sudah lama akak perhatikan dia dan bimbang kalau-kalau dia buat benda tak elok. Sangkaan akak tepat.” Ucap Ramlas menundukkan kepala. “Dia banyak mendiamkan diri dan tak banyak cakap.” Sambung Ramlas lagi.

Rasidah mendengar dengan penuh kusyhuk.

Ramlas mengeluh.

“Selepas tu apa jadi?” Tanya Rasidah.

“Benda tu ganggu Fazura selepas bawa Fazura sampai ke sini dan selepas tu, lain jadinya. Fazura tertekan lalu menelan racun.” Cerita Ramlas lagi.

“Benda?”

“Ya Sidah. Ada benda.”

“Apa maksud akak?”

“Minyak dagu.” Beritahu Ramlas. Terkejut Rasidah mendengarnya. Jadi kegilaan Fazura terhadap Abang Laptop adalah disebabkan minyak dagu! “Pada satu malam, perangai Sulaiman pelik dan dia tergesa-gesa keluar rumah. Akak tak sempat halang. Malangnya beginilah keadaan akak sekarang, Sidah.” Ramlas redha di atas apa yang terjadi ke atas dirinya. Dia kini lumpuh tidak berdaya lagi untuk berjalan.

“Sabar Kak Ramlas. Saya tak saya bahawa dugaan hidup akak juga sangat besar. Saya dah tak tahu apa lagi nak buat kak. Sungguh hati saya sedih.”

“Sidah maafkan keluarga akak ya.” Ramlas merayu. Merayu supaya mendapat kemaafan. Diharapkan tiada dendam dan benci bersarang di lubuk hati Rasidah.

“Jadi, apa yang buat Sulaiman kurang siuman kak? Maaf kak saya sahaja nak tahu.”

“Sebenarnya akak yang jumpa dekat mana dia tanam benda tu. Dia tanam dekat pokok pisang belakang rumah ni. Jadi akak ambil dan simpan dalam rumah. Jadi dia balik rumah cari benda tu. Bila dah dapat dia telan minyak tu sampai habis. Sekarang dia rasakan akibatnya.” Beritahu Ramlas.

Rasidah terdiam. Dia menggeleng perlahan. Lidahnya kelu seketika dan menoleh sekilas pada Abang Laptop yang sibuk mundar mandir.

“Akak… saya juga redah kak. Akak jangan bimbang ya kak. Semua ini kehendak takdir.” Air mata Rasidah juga tidak henti-henti menitis lalu dia memeluk Ramlas.

Ramlas rasa lega selepas maafnya diterima. Tenang rasanya setelah Rasidah melafazkan tiada dendam dan benci. Sebagai manusia biasa, sememangnya tidak pernah terlepas daripada kesilapan. Jadi, perjuangan hidup mesti diteruskan walaupun dilanda badai.

Sekarang Ramlas pula tidak tahu apa yang berlaku di masa hadapan anaknya itu. Dia berserah pada takdir dan dia juga tidak henti-henti berdoa agar Abang Laptop kembali normal dan tidak terus jadi begitu Kini Abang Laptop sering didatangi bayangan Fazura tidak kira masa dan ketika.



***



“Tolong saya…”

“Tolong saya…”

Abang Laptop mendengar rayuan itu. Segera dia membuka pintu. Dilihat sesusuk tubuh yang mengerikan ada di hadapan. Matanya merah, rambutnya panjang. Ditangannya ada sesuatu.

“Hai Abang Laptop… tolong baiki laptop saya ya…” disusuli hilai tawa.

“Mari sayang… mari…” Abang Laptop gembira Fazura datang menemaninya. Yang dipegang Fazura bukannya laptop tapi . . .

SALAM CINTA



MAMA memeluk erat bahuku. Senyumnya lain macam. Dalam hatiku sudah dapat ku teka. Mesti dia mahu menuntut sesuatu dariku. Andai tidak tak mungkin sengihnya melebar sebegini.

“Mama ni kenapa? Lain macam je Edi tengok?” tanyaku. Semakin lebar sengih mama.

“Bulan depan Edi graduate, kan ?” Haish mama ni. Orang tanya dia dia tanya orang balik.

“A’ah, kira Edi dah tamat belajar la. Tapi, Edi nak sambung lagi. Sambung selagi mampu. Selagi terdaya nak kelek buku. Dah kata sampai PHd pun, nak sambung lagi bidang lain,” jawabku. Sesungguhnya aku terlalu gemar belajar. Tidak dapat dipisahkan dengan buku. Waima, kamus sekalipun aku baca. Haa, kisah?!

“Waa, sampai bila anak mama ni nak sekolah? Tak ada planning lain ke selain sekolah je manjang?” tegur mama. Dia mencebik sikit.

“Peliklah mama ni. Orang lain suka anak dia nak sekolah. Mama tak suka pulak,” ujarku mengusik mama. Aku capai sebiji anggur lalu aku suap ke mulut. Tak gigit pun. Kemam je dulu. Macam budak-budak kemam ubat tu. Saja buat pipi kembung kiri kanan.

“Yalah, tak kan Edi tak ada perancangan lain?”

“ Ada ,” jawabku pantas. “Edi nak menghafaz Al-Quran pulak lepas tu. Pulun sepulunnya. Biar ingat 30 juzuk tu.” Aku sengih. Mama buat muka.

“Memanglah elok belajar tu. Lebih-lebih lagi hafal Quran. Sejuk perut mama mengandungkan Edi dulu. Maksud mama, tak ada ke perancangan lain selain belajar?”

Aku tongkat dagu. Buah anggur dalam mulut tadi aku tolak ke pipi kiri, aku tolak ke pipi kanan. Mencerna otak hendak menjawab pertanyaan mama ni. Dalam otak aku, selain belajar yang lain tak ada kot.

“Tak adalah, ma. Tapi, rasanya Edi nak hafal kamus kot. Boleh?”

Aku buat muka blur dekat mama. Apa lagi, makin cemberut la muka ayu tu. Benar dia masih cantik walaupun sudah menginjak ke angka 55. Kalah aku yang muda tapi sememeh ni.

“Edi ni, sengaja mainkan mama la tu. Kan ? Tak boleh nak lari dari buku tu. Haish,” keluh mama pula. Aku bantai gelak. Perlahan-lahan aku kunyah anggur tadi dan suap pula yang lain.

“Payah cakap dengan ulat buku ni, mama,” sampuk abang aku tiba-tiba. Haish, dari mana muncul pun tak tahu. Terus duduk di depan kami menarik pinggan anggur tu ke atas ribanya.

Eleh, kata aku ulat buku, dia tu ulat bulu. Muda-muda dah menggatal nak kahwin. Abang Edika buat muka bila aku menyuruh dia letakkan kembali pinggan anggur itu ke meja.

“Yang abang ni nak ke mana?” Aku renung abang aku yang pakai kemas semacam je.

“Nak jemput buah hati tersayang la,” jawabnya pula. Aku buat muka. Menyampah!

“Edini, dengar sini mama nak cakap. Mama harap Edi ada perancangan lain selain dari belajar tu semua. Kami tak marah Edi nak sekolah sampai ke bulan sekalipun. Tapi, mama, papa, Abang Dika nak sesuatu yang lebih menjamin kehidupan Edi sebagai perempuan.”

Aduhai… kali ini makin terbelit otak aku nak cerna kata-kata mama. Aku lihat Abang Edika dah terkekek ketawa. Masuk ni dah dua kali aku menyampah dengan dia.

“Okey, mama nak Edi buat apa?” tanyaku pinta kepastian. Demi mama aku sanggup lakukan apa saja. Janji mama tak halang aku nak belajar.

“Sebelum sambung Master ni, tunang dulu boleh?” Erk, aku tertelan anggur sebiji tadi. Bulat mataku menahan sesak.

“Edi… tak… ada…” Aku berdehem beberapa kali. Haish, tercekik sudah.

“Kawan aku, dik. Kalau kau nak.” Abang Edika dah mula buat promosi kawan dia. Aku kalih pada mama. Mama jungkit kening.

“Mama dah berkenan dengan dia. Edi setuju?” tanya mama.

Rasanya, tiga beranak ni termasuk papa dah buat keputusan untuk aku. Haish, kalau cakap tak setuju, aku jadi anak derhaka tak? Kalau tak, aku nak tolak ni.

“ Ada option tak, ma?” tanyaku, sengih lagi raih simpati.

“Tak ada option. Dead order,” sampuk Abang Edika pantas. Penyibuk betul la. Siapa cakap wanita je kaki penyibuk? Abang aku yang seorang ni lagi la sibuk kakinya.

“Diamlah, abang. Edi tanya mama la,” marahku. Dia jelir. Potong lidah karang, dah bisu nanti.

“Abang tolong jawab bagi pihak mama apa. Kan mama kan ?” Abang Edika angkat dagu pada mama. Mama sengih mengiyakan kata-kata Abang Edika. Haish, boleh pulak dia geng berdua sejak akhir-akhir ni.

“Betullah tu. Kalau ikut mama, mama memang tak nak bagi pilihan dekat Edi. Mama dah berkenan dengan Haq tu. Baik budaknya. Nak harapkan Edi cari sendiri maknanya tak bermenantu lelaki la mama ni,” ujar mama. Ada keluhan pada akhir kata.

Ni yang buat aku lemah ni. Aku bukan boleh kalau mama mengeluh. Mula terasa ada yang menghulur tiket percuma ke neraka.

“Okey macam ni. Mama bagi masa Edi kenal dulu, err… siapa tadi nama dia, bang?” Aku garu kepala. Baru saja mama sebut dah lupa. Rasanya bukan panjang pun.

“Haq. Abdul Haq nama dia,” jawab Abang Edika.

“Haa, bagi Edi kenal dulu Abdul Haq tu. Nanti baru kita decide, boleh?” Aku dah mula la corner lipat mencari alasan. Nama pun macam Incredible Hulk je. Harap-harap tak hijau macam hulk dah la. Naya aku. Macam lumut nanti.

“Okey, mama setuju nak bagi masa kat Edi untuk kenal Haq. Tapi ingat…” Mama angkat jari telunjuk tepat mengena batang hidungku. Naik juling mata tengok hujung jari mama.

“Edi jangan nak corner lipat sana lipat sini. Karang dengan Edi sekali mama lipat,” ujar mama sedikit tegas. Mama bangun selepas tu. Meninggalkan aku yang sedang dibahan oleh Abang Edi.

Aku mencebik. Hamba Allah yang seorang ni, dah kahwin pun, perangai masih macam tu je. Tak ada perubahan langsung. Tak ada kemajuan. Mama suruh pindah Abang Edika tak nak. Dia kata nak duduk bawah ketiak mama. Sementara mama ada, katanya. Bila fikir balik, aku akui niatnya luhur. Lagipun dia anak lelaki tunggal dalam keluargaku. Mujur juga isterinya, Kak Aira jenis yang tidak kisah. Cool je manjang.

“Bahankan Edi nampak,” tegurku bila melihatkan tawanya tiada tanda hendak reda.

“Mahu tak kena bahan. Kau tu semua nak kena paksa. Nak bagi kahwin pun paksa. Tengok abang ni, siap merayu lagi kat mama nak kahwin,” jawabnya.

“Dah abang tu gatal,” selaku mencebik. Dia ketawa lagi.

“Kamu tu Edika, jangan dok gelakkan adik kamu tu manjang. Kata nak pergi jemput Aira kat kampus. Yang kamu dok lekat kat situ lagi kenapa? Karang dengan kamu sekali mama lipat,” jerit mama dari dapur.

Aku lihat muka Abang Edika dah macam orang tercekik buah anggur je. Terus padam tawanya. Nah, ambil kau! Ejek hatiku. Kak Aira sebenarnya kawan baik aku. Entah macam mana mereka berdua ni sangkut sewaktu Kak Aira bermalam di rumahku semasa kami sama-sama menyiapkan tesis dulu. Tapi, sayang bila Kak Aira terpaksa menangguh pengajiannnya untuk satu semester kerana mengikut Abang Edika bertugas di luar Negara. Buat rugi je, kan ? Sekarang ni, daripada Aira, terpaksalah aku gelarkan dia Kak Aira bila Abang Edika memaksa. Tanda hormat katanya.

*****

BARU beberapa hari dengar mama nak nikahkan aku, aku terus menghantar borang permohonan untuk mengambil sijil khas dalam hafaz Al-Quran di Mesir. Itulah satu-satunya impian aku sebelum aku menutup mata. Aku mahu seluruh urat dan nadi ini, dialirkan dengan ayat-ayat suci qalam Allah. Nak kata mama bising, tak pun tapi mengeluh la jugak.

“Kata nak buat Master? Kenapa tiba-tiba buat special certificate pulak? Tak boleh ke Edi mohon ijazah dalam bidang tu? Mohon yang betul-betul proper.”

“Kalau proper banyak yang Edi kena belajar, ma. Edi bukan nak jadi ustazah pun. Edi just nak menghafaz Quran. Ala , bukan lama pun, setahun je Edi kat sana ,” pujukku pula.

Aku paut lengan mama erat agar dia bersetuju sahaja. Permohonan sudah diluluskan. Tinggal tunggu nak berangkat je lagi.

“Bagi jelah, mamanya. Dah budak tu nak belajar,” sampuk papa jelas menyokong tindakanku. Hatiku gelak mengekek. Sayang papa.

“Tapi, Dika rasa elok kita bagi kahwin dulu, ma. Kat sana Edi dok sorang-sorang bahaya tu.” Muncung mulut abang aku ni. Suka menangguk di air keruh. Sengaja nak menghuru harakan keputusan mamalah tu.

“Betul tak, yang?” tanya dia pada Kak Aira. Aku rasa nak sepak ke Abang Edika ni keluar rumah. Mulut dia macam bertih jagung. Aku rasa dia lahir kembar dengan bertih jagung sebab tu mulut dia becok.

“Elok juga kalau Edi nikah dulu. Lepas tu sama-sama pergi sambung sekolah. Tak adalah kami risau sangat Edi kat sana sorang-sorang,” tokok Kak Aira pula.

Haaa, ni lagi aku rasa nak karate je. Sejak bila pandai belot aku pun tak tahu. Bila aku renung dia, dia jungkit bahu je. Sengaja nak kenakan aku. Dengki gamaknya dengan kehidupan cool and steady aku sebagai bujang ni.

“ Ala , mama. Jangan dengar cakap abang dengan Kak Aira ni. Edi boleh jaga dirilah. Sila jangan risau.” AKu senyum pada mama. Mahu meyakinkan dia yang aku boleh menjaga diri.

Lama juga mama diam. Dia pandang papa, aku pandang dia, papa pandang aku, aku pandang pulak kedua kakak dan abang aku ni, sudahnya papa gelak.

“Papa tak kisah. Bila-bila masa je papa on,” ujarnya lantas bangkit. Papa pun satu, tengah-tengah orang bertarung hidup mati ni, dia boleh tinggal macam tu je. Betullah pihak berkecuali.

“Kalau papa dah cakap macam tu, Edi kahwin la dulu. Boleh?” tanya mama kononnya minta persetujuan. Tapi, aku tahu dah. Tu keputusan tu, bukan pertanyaan.

“Edi tak kenal lagi Haq tu. Macam mana nak kahwin?” Aku mengeluh. Kak Aira dah sengih sumbing.

“Esok malam ma kita kenalkan budak berdua ni. Kita ajak Haq makan malam kat rumah,” cadang Abang Edika. Mama angguk.

“Boleh-boleh. Nanti Edi tolong mama masak. Lagipun, Edi nak berangkat dalam sebulan lagi, kan ? Sempat kenal dulu.”

Aku jungkit bahu. Bila mama dah berkata demikian, memang kena angguk jelah. Bantah lebih-lebih karang dia kata aku derhaka nanti, tu lagi haru. Haq! Macam mana rupa mamat ni? Maksud nama dah cantik. Abdul Haq maknanya hamba yang berhak. Agaknya betullah kot aku ni bakal jadi hak dia. Haishh.

Malas nak fikir lagi, aku tarik Kak Aira ke atas. Ada dendam yang mahu aku lunaskan.

“Edini, kamu tarik sleeping partner abang ke mana tu?” jerit Abang Edika bila kami dah mula mendaki anak tangga.

“Kedekut bini ar abang ni,” jeritku pula.

******

“SIAPA Haq tu, Ai?” tanyaku pada Kak Aira. Kalau berduaan aku malas nak panggil dia kakak. Rasa geli semacam je.

“Kawan abang kaulah,” jawabnya pula.

“Kau tak kenal dia ke?” tanya aku lagi. Sebenarnya hati dah berdebar lain macam ni melihatkan detak jam yang bergerak tidak henti-henti. Rasa cepat je masa berlalu padahal baru sekejap mama rancang nak main masak-masak malam esok.

“Kenallah. Kenapa pulak tak kenal. Budak baru dekat pejabat Dika. Kami pernah jugaklah jumpa masa aku pergi lunch dengan Dika. Handsome orangnya. Baik,” ulas Kak Aira padaku.

“Eleh, ada aku tanya?” Aku mencebik. Kak Aira ketawa.

“Kenal dulu. Aku berani potong jari kau akan suka dia, Ed,” ujar Kak Aira.

“Oh ya, dia suka makan sambal petai tau,” tokoknya lagi. Haish, aku tak tanya pun. Pepandai nak bagi kenyataan Kak Aira ni.

“Aku tak tanya, okey?” Bulat mataku melihatnya.

“Aku saja cakap,” selanya lantas bangkit dari birai katil hendak berlalu.

“Yalah tu. Emm, terima kasihlah dekat kau sebab pepandai nak up-gradekan title aku dari cik kepada puan macam kau tu,” ucapku padanya sebelum dia melepasi pintu.

“Sama-sama,” jawabnya selamba dengan tawa yang tertahan-tahan. Menyampah! Boleh pulak dia jawab sama-masa padahal aku tengah sindir dia ni?

*******

PERLAHAN-LAHAN aku menapak menuruni anak tangga selepas solat Maghrib tadi. Telingaku dah menangkap bunyi senduk dengan kuali dah.

“Ha, yang kau terjingkit-jingkit ni, kenapa pulak, dik?” sergah abang aku dari belakang. Mujur tak tergolek aku atas tangga ni.

“Abang ni. Tak sergah orang tak boleh ke?” marahku.

“Kau tu haa…”

“Apa yang bising-bising ni?” tanya mama yang sudah bercekak pinggang di depan kami.

“Entah, Edini ni ha. Jalan terjingkit-jingkit. Macam pencuri dalam rumah sendiri.” Abang Edika terus turun tapi tangan dia tu sempat lagi singgah ke lenganku. Dicubitnya. Tak sakit tak apa, ni sakit.

“Yang abang tu cubit orang kenapa?” jeritku pula. Mama dah merengus. Abang aku tu macam tu jugaklah. Ketawa.

“Dah, dah. Ni pukul berapa Edi baru nak turun ni? Kejap lagi Haq nak sampai dah. Yang Edi baru turun ni kenapa? Mama suruh Edi tolong mama kat dapur. Ni Kak Aira sorang je dok tolong.”

“Edi baca Quranlah, ma,” jawabku memberikan jawapan yang tak mungkin mama bantah.

“Yalah-yalah. Dah mari tolong mama kat dapur,” ajak mama seraya berlalu.

Bibirku menggariskan senyuman. Lega bila mama tak berterusan membebel. Agaknya, abang aku ni ikut mama kot, mulut dia, haish, cakap banyak betul.

Baru je aku jengah ke dapur, mama dan Kak Aira dah mula menghidangkan makanan. Eh, nak tolong apa lagi ni? Semua dah siap ni.

Tiba-tiba kepalaku teringat akan kata-kata Kak Aira semalam. Haq suka sambal petai. Tak tahu kenapa, rasa gatal tangan la pulak nak buatkan sambal petai untuk dia. Saja nak tunjuk skill memasak untuk bakal suami. Erk, kejap. Kenapa pulak aku boleh kata bakal suami? Aku nak ke? Adeh, pening kepalaku.

Hati menidakkan tapi tangan ni ringan je gapai periuk dalam kabinet. Lepas tu letak atas dapur, panaskan minyak dan masukkan cili kisar. Sudahnya, aku buat jelah. Kebetulan bahan ada. Apa salahnya. Pujukku kononnya bukan nak buat untuk Haq pun. Untuk semua orang.

“Wanginya,” tegur mama selang 15 minit aku berseorang di dapur.

“Masak apa ni?” tanya mama. Aku malas nak bercakap. Rasa berat mulut tiba-tiba jadi aku tunjukkan je mangkuk Correl yang sudah berisi sambal petai.

“Untuk siapa ni?” tanya mama lag.

“Untuk makan malam kitalah,” jawabku.

“Dah mari cepat, Haq dah sampai tu,” ajak mama. Hai, cepat betul. Tak dengar pulak orang bagi salam. Bila masa sampai.

“Dia baru je masuk tu. Tak duduk lagi pun,” jawab mama macam tahu-tahu je apa yang bermain di dalam kepala aku ni.

Entah mengapa, hentakan di dada tak lancar dah. Ada irama yang tersangkut dan detak yang agak sumbang. Takutlah pulak.

“Err, mamalah bawa ni. Edi nak makan kat dapur jelah,” ujarku pada mama. Apa lagi, bulatlah mata Puan Erina ni.

“Jangan nak ngada,” marah mama perlahan. Tak pasal-pasal dia tarik tangan aku untuk melangkah bersamanya.

Bila kami tiba di ruang makan, aku lihat tubuh yang tidak ku kenali itu sedang berborak dengan papa dan Abang Edika. Mesra je.

“Haq, tu adik aku yang ulat buku tu,” ujar Abang Edika tiba-tiba bila terlihat kelibatku bersama mama. Aku rasa nak luku ke Abang Edika ni. Tak menjaga pride langsung.

“Ulat buku tak apa, kan Haq? Jangan ulat bulu,” seloroh papa sambil menepuk bahu abang aku. Dia dah buat muka tercekik buah anggur dah. Papa will always by my side. Cayalah. Padan muka abang tu.

Haq dengan gerak perlahannya kalih pada aku dan saat kami bertentang mata buat pertama kalinya ni dan Haq tersenyum sambil mengedipkan mata sekali, hati aku ni Kuch-kuch Hota Hai la pulak. Something is happening is my heart. Huh, parah ni.

Mata dia kuyu je. Tampak kudus je pandangan tu. Manisnya bibir itu mengulum senyum membuatkan aku dengan sendirinya mahu membalas dengan semanis mungkin. Jantung yang tadi berentak sumbang, dah kembali merdu dah.

Dalam hati ada yang dah menghulurkan salam. ‘Assalamualaikum cinta,’ bisik satu suara dalam hatiku. Aku mula la teragak dah ni. Nak jawab ke tak. Err, biarlah dulu. Tak sampai masa nak jawab lagi ni.

“Mari, Haq,” pelawa mama. Hai, tersentak aku dibuatnya. Mama ni, tengah-tengah orang nak renung merenung ni, dia ajak makan pulak.

Kami semua ke meja makan dan aku perlahan-lahan tarik mangkuk sambal petai aku tu dan terus aku letak atas riba. Kaku dah macam patung cendana. Sesekali terperasan juga yang budak Haq ni memandang aku. Haish, shy-shy cat dah aku ni.

“Eh, mana sambal petai tadi, Edi?” tanya mama kuat. Semua mata terus tertumpu ke arahku. Mama ni suara dia, rasa ketat je telinga aku.

“Eh, boleh pulak dia sorok sambal ni atas riba dia,” rungut mama sambil mengambil mangkuk tu dan dia letak betul-betul depan Haq yang duduk bertentangan dengan aku.

“Dia masak ni khas untuk Haq. Orang lain tak boleh makan,” tambah mama lagi. Aduhai, pepandai je jadi Kak Kiah Propa. Aku siku mama. Haq angkat kening padaku. Erk, pandai pulak angkat kening.

Dia dah cedok sambal petai tu dulu. Bila dia suakan suapan pertama ke mulutnya, aduhai sopannya. Penuh tertib. Tak macam orang sebelah dia tu, huh, gelojoh betul suami Kak Aira ni.

“Sedap sangat,” pujinya dua patah. Aku dah rasa nak terbang dah. Dari Kuch-kuch Hotai Hai dah nak jadi, Muhjse Shaadi Karoge dah ni.

Aku lihat mama angkat kening pada papa. Papa senyum jelah manjang. Sudahnya, makan malam kami diam je sampaikan aku sudah dulu. Sikit je makan depan bakal suami. Malu padahal perut dah menangis tak cukup isi ni.

Aku bangkit dan berlalu ke dapur. Sedang aku mencuci pinggan di sinki, Haq juga muncul di sebelah aku. Terkejut jugaklah sebab masa tu tengah berangan kahwin dekat tepi Sungai Nil.

“Sikit je makan?” tanya dia padaku. Aku sambut pinggan di tangannya lalu aku memberi laluan untuk dia membasuh tangan. Eh, bukan ke ada air basuh tangan dah kat luar. Dia ni sengaja ni.

“Makan sikit je. Nanti gemuk payah nak cari baju,” jawabku selamba. Dia ketawa perlahan.

“Sedap sambal tu. Terima kasih sudi masakkan lauk kegemaran saya,” ucapnya lagi. Aku senyum sajalah. Tak tahu nak kata apa sebenarnya. Dalam hati, dah jawab, lain kali saya masak lagi.

“Harap, esok-esok boleh makan sambal petai tu hari-hari,” sambungnya lagi.

“Hari-hari?”

Dia angguk.

“InsyaAllah, kalau ada jodoh,” selaku dengan suara yang menggambarkan debar yang semakin hebat.

“Dika kata Kak Edini lebih tua dari saya, betul ke?” tanya dia lagi. Aku dah melopong. Betul ke dia dari muda dari aku ni? Yang peritnya, siap panggil aku kak.

“Err, awak umur berapa?” tanya aku.

Dia senyum dan mengangkat dua belah tangannya. Sebelah dengan jari tegak dua batang dah lepas tu dua belah pulak tegak tujuh batang. Senangnya umur dia 27 la. Eh, tua dari aku la tu. Aku baru 24 tahun. Abang Edika ni memang nak kena la kot.

“A’ah, saya 29. Beza setahun je dengan Abang Edi,” jawabku tak pasal-pasal. Menipu la pulak. Padahal aku dengan abang aku tu beza 6 tahun sebab tu dia suka menyakat aku.

“Kenapa, awak kisah ke kalau saya lagi tua dari awak?” tanyaku lagi sengaja nak duga jawapan dia. Dia langsung menggeleng.

“Tak kisah langsung. Kalau kata Kak Edi jodoh Haq, Haq rela hati menerima Kak Edi,” jawab Haq yakin. Bertambah mesra la pulak bila dia dah biasakan diri dia Haq. Tapi, aku rasa nak lipat je mamat ni. Kak Edi dia panggil aku. Nanti dah kahwin nak panggil kakak juga ke?

“Kenapa panggil saya Kak Edi? Dengan Abang Edika awak tak berabang pun.”

“Oh, itu lain. Kami kawan tapi dengan Kak Edini, Dika pesan suruh panggil Kak Edi. Katanya nanti Kak Edi marah. Katanya lagi, Kak Edi akan rasa tak dihormati kalau tak panggil kakak,” jawab Haq telus. Tak berselindung dah tu rasanya. Hai abang aku sorang ni. Memang nak kena ni. Yang Si Haq pulak ni, aku nampak macam pembaris dah. Lurus sangat.

“Err, ya… ya. Tak apa. Panggillah Kak Edi pun. Saya semua boleh,” jawabku dengan gigi yang aku ketap kuat. Geram dah ni. Aku bergerak ke meja pula, mahu dilap meja yang agak kotor itu dah Haq ni pun dah duduk siap-siap atas kerusi.

“Weekend ni boleh kita keluar sama-sama tak?” tanya budak lurus ni.

“Nak ke mana?”

“Kita kenal-kenal dulu sebelum saya masuk meminang, Kak Edi. Lagipun masa tak lama kan sebelum Kak Edi nak ke Mesir, betul tak?”

Aku jungkit bahu. Rasa nak gelak pun ada dengan budak pembaris ni. Dah lurus, aku gelar pembaris jelah.

“Nak ke mana?” tanyaku kemudiannya.

“Kita ke Midvalley nak tak? Haq nak singgah MPH jap, cari buku sikit,” ajaknya. Aku apa lagi, angguk jelah sebab semua kedai buku ni dah jadi tempat kesukaan aku. Rumah kedualah lebih kurang.

“Mama Kak Edi cakap dekat Haq yang Kak Edi ni nak belajar menghafaz, kan ?” Haq senyum bermakna.

“A’ah,” jawabku pendek. Lalu aku beralih pula ke kabinet. Mahu dilap bahagian itu pula. Dia pun turut bangkit dan menyandarkan punggungnya di kabinet itu juga. Haish, nak menempel je.

“Kenapa sampai ke Mesir?” tanya dia lagi. Aku jeling wajah tampan itu sekilas. Memanglah wajah tu bisa membawa debar dalam dada aku ni macam kata Kak Aira.

“Saja nak ubah angin. Bila lagi nak kenal tempat orang. Masa ni la sementara berpeluang dan masih bujang ni,” jawabku senada.

“Eh, bukan ke Kak Edi kena kahwin dengan Haq dulu baru mama Kak Edi benarkan Kak Edi berangkat?”

Tu dia, telus je soalan budak tua ni. Jujur je cakap aku kena kahwin dengan dia dulu.

“Eh, ye ke macam tu?” Saja aku mainkan dia. Nak tengok tahap mana kelurusan budak tua ni.

“Eh, yalah.” Haq dah luruskan badannya dan kini menghadap tubuhku sepenuhnya.

“Ke Kak Edi tak sukakan Haq?” Wajah Haq dah monyok sikit.

Aku tengok wajah tu dah lain macam. Tadi manis macam madu, ni manis juga tapi ada kelat sikit. Macam gula perang. Hati aku dah mengekek ketawa. Seronok juga ada kawan lurus bendul macam ni. Tak adalah aku asyik kena bahan dengan Abang Edika je. Sesekali ada juga rasa nak bahankan orang.

“Kak Edi ni jenis susah nak suka dekat orang, Haq. Tak pernah jatuh cinta pun.” AKu dah mula main tarik tali. Rasa selesa la pulak nak bersembang bila merasakan yang Haq ni muda dari aku biarpun hakikatnya tidak.

“Tak pernah ada cinta yang memberi salam pada pintu hati Kak Edi ke?” tanya dia lagi. Eh, aku nak tarik dia alih-alih dia yang tarik aku pulak.

“Err, tak… tak ada kot,” bohongku. Padahal pertama kali tengok dia tadi, rasanya itulah pertama kali hatiku diketuk bersama salam.

“Ya ke? Boleh percaya ke orang secantik Kak Edi ni tak pernah ada yang singgah nak beri salam dekat hati tu?”

“Eleh, setakat singgah je lepas tu nak berlalu buat apa? Baik cik hati tu duduk sorang-sorang je. Diam-diam kat dalam tu. Daripada dapat penyakit.” Aku mencebik. Kain buruk di tangan aku bawa ke sinki dan aku terus membasuh tangan.

“Eh, kenalah singgah dulu. Nak tahu cik hati tu dah menjawab salam ke belum. Kalau belum bolehlah hati yang satu lagi tu diam di situ selamanya,” ujarnya bersama senyuman.

Eceh, bermain kata pulak Abdul Haq ni. Tadi kat meja makan kemain sopan santun. Nampak je lurus bendul tapi sebenarnya bengkok juga.

“Kalau macam tu, Haq cuba la beri salam dekat hati Kak Edi. Barulah Haq tahu cik hati ni pernah menjawab salam ke tidak,” selaku lalu berlalu dan tak pasal-pasal terlanggar pulak bahu abang aku di ambang pintu ni.

Dia jeling semacam je. Sengih dia dah makin lebar dah. Aku naik geram dah ni bila ingatkan dia suruh Haq panggil aku Kak Edi. Jadi, aku mula la membaca mentera pada dia.

“ Ada date nampak weekend?” tanya dia lalu ketawa. Hishh, dia ni. Pasang telinga la tu.

“Kisah ke?” cebikku lalu aku menapak ke meja makan hendak menolong Kak Aira dan mama yang sedang mengemas meja. Sempat juga telinga aku ni tangkap gelak ketawa Abang Edika dengan Haq. Menyampah!

******

KAMI sama-sama berjalan keluar dari MPH selepas Haq membeli sebiji buku. Ramai betul orang hujung minggu macam ni. Rasanya dekat sejam kami dalam MPH tu. Bila aku tanya buku apa dia beli, dia kata tak sampai masa lagi untuk aku tahu. Nak tak nak, kenalah mengalah. Tak kan nak memaksa. Lepas tu, dia ajak aku makan tengah hari dekat Noodle Station. Nak tak nak, aku ikut jugalah.

“Kak Edi nekad ke nak belajar menghafaz sampai ke Mesir sana ?” tanya dia bila kami sama-sama melabuhkan duduk di kerusi.

“Kalau nekad?” Haa, soalan berjawab soalan.

“Kalau nekad apa kata kita kahwin dulu? Nanti boleh kita honeymoon sekali kat sana . Sungai Nil dia cantik sangat.”

Eh, tak ada lipat-lipat Haq ni bertanya soalan. Terus je ajak aku kahwin. Kot ya pun, lamar la elok-elok sikit.

“Haq pernah sampai sana ke?” tanyaku ingin tahu. Dari cara dia bertutur tu macam pernah je dia sampai ke sana . Haq ketawa. tapi, tiada jawapan.

“Awak melamar Kak Edi ke ni?” tanyaku lagi. Menjawab soalan Haq dengan soalan lagi.

“Kalau Kak Edi rasa Haq tengah melamar, my answer is yes,” tegasnya. serentak itu seorang pelayan datang mengambil pesanan. Muda lagi. Tersenyum saja tapi bukan dekat aku, tapi dekat Haq. Hai, susah dapat bakal suami handsome ni. Erk, sejak bila bakal suami ni? Hai…

“Kalau Haq kata macam tu, Kak Edi tak kisah. Masuk la meminang dengan cara yang elok. Ikut agama dan adat.” Sengaja aku tekan perkataan meminang tu kuat sikit agar budak pelayan ni dengar. Jangan pepandai nak main mata dengan my future husband.

Aku tengok budak tu menahan tawa. Agaknya lucu kot bila aku biasakan diri aku kak. Ah, tak kisahlah. Janji aku tak tua dari Haq. Haq tu je perasaan diri dia muda dari aku sebab kena momok oleh Abang Edika.

Selepas pelayan itu berlalu, Haq ketawa. Aku dah pelik. Tapi, nampak kacak sangat dia ketawa. Hai, hati ini sudah menjadi miliknya tanpa aku sedar.

“Kenapa ketawa?” tanya aku.

“Kak Edi suruh Haq masuk minang tu mesti tak ikhlas, kan ?” tanya dia dengan tawa yang masih bersisa.

“Kenapa pulak?” Berkerut wajahku.

“Mesti sebab Kak Edi rasa adik tu tadi tengok Haq. rasa cemburu mungkin,” tebak Haq tepat dan padat.

Aku telan liur. Nak buat apa lagi, sengih jelah. Tak sangka yang Haq mampu memahami makna kata-kataku itu. Tapi, sebenarnya aku ikhlas katakan semua itu tadi. Kalau dia masuk meminang, my answer is yes too! Tapi, bila dia rasa aku bergurau dan tak ikhlas, aku diamkan jelah. Malas nak jadi hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong pulak.

“Atau Kak Edi nak Haq pinang Kak Edi selepas balik dari Mesir nanti?” Hari ini dah bermacam soalan yang Haq tanya aku. Letih dah nak jawab.

“Ikut suka Haq la,” selaku dengan suara yang mendatar. Sebenarnya kecil hati dengan tawanya tadi. terasa la juga bila dia mengatakan aku tidak ikhlas memintanya masuk meminangku. Sudahnya, dia senyum saja dan kami terus menikmati Noodle Tom Yam yang Haq pesan untuk kami berdua.

******

BIBIRKU lebar saja menggariskan senyuman selepas surat itu aku baca. Dalam hati rasa nak melompat je tapi mengenangkan kesopanan diri, aku lompat dalam hati jelah.

“ Surat apa, Edi?” tanya mama sebaik saja aku duduk di sebelahnya.

“ Surat tawaran tu lah. Dua minggu lagi boleh mendaftar dah,” jawabku dengan wajah yang ceria.

“Eh, cepatnya. Kalau macam tu, Edi kena suruh Haq masuk meminang cepat-cepat la ni. Nak tak nak kena langsung juga. Edi kan dah janji dengan mama, kan ?” Mama dah mula mendesak. Dah mula nak kalut dah. dia bangkit mundar mandir depan aku.

“Mama, tak kan la Edi nak suruh Haq masuk pinang Edi pulak. Jatuhlah pride seorang wanita kalau macam ni. Lagipun, dia ada cakap kat Edi yang dia nak masuk minang lepas Edi balik dari Mesir nanti.” Eh, kejap. Aku dah garu kepala. Bukan macam tu pun kenyataan Haq hari tu. Dia bertanya, bukan memberi kenyataan.

“Eh, silap. Haq tanya, Edi nak dia masuk minang lepas Edi balik Mesir ke…” leretku. Membetulkan semula kata-kata tadi.

“Dah tu Edi jawab apa?”

“Edi jawab ikut suka dialah.”

Mama tepuk dahi. “Ya Allah, Edini. Kamu cakap ya terus tak boleh ke. Ni mesti Edi nak tolak permintaan mama, kan ? Tak nak kahwin sebelum ke Mesir, kan ? Nak hidup sorang-sorang kat sana ? Nak buat mama risau?” Mama mula merungut dah. Aku terpaksa la garu kepala tak gatal. telinga dah mula bingit dah.

“ Ala , janganlah cakap macam tu. Edi setuju je kalau kena kahwin dulu. Tapi, kalau Haq tak sedia lagi, tak kan kita nak paksa dia. Tak pun tunang jelah dulu. boleh?” pancingku bila melihatkan wajah mama semakin monyok.

“Tak nak. Mama nak sekali harung semua. Seperti mana yang Edi pernah janji, mama tuntut janji tu hari ni,” tekan mama lalu berlalu.

Eh, bila masa pulak aku berjanji nak kahwin? Aku hanya bersetuju je kalau itu kehendak mama. Dah orang tak nak, buat apa nak paksa. Hai, pening dah kepala ni. Malas nak fikir panjang lagi dah, aku terus sign surat tawaran tu. Esok terus ke JPA nak mohon visa.

Esoknya, aku pagi-pagi dah siap. Dah berjanji dengan Kak Aira nak ke Putrajaya untuk uruskan keberangkatan aku ke Mesir nanti. Bila kami turun, mama lebih awal siap daripada aku.

“Mama nak ke mana?” tanya aku pelik. Nak kata kerja, mama suri rumah sepenuh masa.

“Mama nak keluar. Nak uruskan hal nikah Edi dengan Haq. Mama dah suruh papa ambilkan borang dekat pejabat agama. Dekat Abang Edika pun mama dah pesan suruh dia cakap dekat Haq siapkan borang. Nanti senang kita uruskan.” Serius je kata-kata mama. Langsung tiada riak bercanda. Aku pandang Kak Aira dan dia pandang aku. Tiba-tiba kami sama-sama jungkit bahu.

“Mama ni biar betul? Edi sibuk nak pergi belajar, mama sibuk pasal kahwin ni. Haq tu tak naknya dekat Edi ni,” dalihku.

“Mama takut bukan Haq yang tak nak dekat Edi, tapi Edi yang banyak dalih nak terima dia tak?” duga mama lagi. Matanya memandangku lain macam saja. Penuh dengan amaran. Rasanya mahu melepaskan diri pula. Selepas peristiwa di Midvalley tempoh hari, aku dapat rasakan yang Haq masih belum bersedia untuk terima aku dalam hidupnya.

“Kalau Kak Edi keberatan, apa kata Kak Edi pergi belajar dulu. Lepas dah balik sini baru kita fikir balik pasal kita.”

Masih berdengung dalam kepalaku suara Haq saat menghantar aku pulang tempoh hari. Kata-kata terakhir yang aku biarkan tidak bersambut. Pedih juga kala itu. Tapi, nak buat macam mana. Agaknya dia sekadar singgah memberi salam pada hati aku dan dia sebenarnya mahu berlalu meneruskan perjalanan kepada tujuan dia yang hakikit.

“Edi dengar tak mama cakap ni?” keluh mama. Aku pantas kalih. Terbang pergi terus suara Haq dalam kepalaku tadi.

“Ya, Edi dengar. Emm, ikut mamalah. Kalau kata Haq terima, esok juga Edi nak kahwin dengan dia,” putusku dengan suara yang mendatar.

Bergurau sebenarnya tu sebab aku dah tahu yang Haq pasti menolak cadangan ni. Aku yakin itu.

“Edi cakap betul ni?” tanya mama tidak percaya.

“Ikut suka mamalah,” ujarku mengalah. Jawapan sama yang aku berikan pada Haq hari tu. Kak Aira hanya tersengih lalu membontoti langkahku keluar daripada rumah. Haish, tiba-tiba hati ni nak buat drama airmata la pulak.

“Kenapa kau cakap Haq tak suka kau, Ed?” tanya Kak Aira padaku sewaktu aku tenang memandu. Wajah jelah tenang, sedangkan hati aku tak. Terseksa juga rasanya memikirkan aku bakal berjauhan daripada cinta pertama aku tu andai benar Haq menolak untuk memperisterikan aku.

“Dia suruh aku pergi dulu. Lepas balik baru dia nak kami bincang pasal ni. Dahlah panggil aku Kak Edi. Rasa nak cepuk je,” luahku geram. Kak Aira dah ketawa.

“Dia panggil kau Kak Edi? Kenapa pulak? Bukan ke dia lebih tua dari kita tiga tahun. Apa hal pulak macam tu?” Kak Aira terus ketawa.

“Siapa punya angkara lagi kalau bukan laki kesayangan kau tu,” marahku pada Kak Aira. Abang Edika punya pasal, isteri dia pulak aku marah. Haish.

“Oh, ya ke. Patutlah Abang Edika asyik gelak je kalau bercerita pasa kau orang berdua. Tapi kan, Ed. Daripada apa yang Abang Edika cakap dengan akulah, Haq tu memang love at the first sight la dekat kau dan aku yakin kau pun sama, kan?” duga Kak Aira. Mujur dia tak melompat dalam kereta Perdana V6 milik mama ni.

“Eleh, pepandai kau nak jadi Kak Kiah Propa ni kenapa? Ada aku cakap aku jatuh cinta pandang pertama pada Haq tu?” cebikku geram.

“Memang tak ada. Tapi, dari riak wajah kau yang cemberut tu, memang sah dah tu. Ni mesti kau rasa sedih sebab nak tinggalkan Haq, kan ? Mesti rasa berat hati, kan ? Mesti tak sanggup, kan ?” Kak Aira dah siap kalih separuh badannya ke arah aku. Bersungguh-sungguh benar.

“Heh kau ni, kak. Banyak sungguh mestinya. Tak ada maknanya. Semua ni tak menjadi satu kemestian pun. Cita-cita aku lebih penting.” Aku cepat saja menidakkan padahal dalam hati dah terasa sakit la pulak. Aduhai, macam ni ke sakit kerana cinta? Nasib baik aku tak jawab lagi salam dalam hati aku ni. Kalau tak lagi parah rasanya.

“Mestilah,” sambung Kak Aira tiba-tiba. Eh, sempat lagi kakak ipar aku seorang ni. Aku lempar tepi lebuhraya MEX ni karang, ada yang menangis kat rumah. Aku geleng saja dan dia terus ketawa.

******

AKU hampir saja melompat bila Abang Edika tepuk bahuku saat aku sedang melayan perasaan di taman mini milik papa.

“Abang ni kenapa suka buat Edi?” tanyaku marah.

“ Ala , orang gurau pun tak boleh Edi ni. Sejak nak jadi isteri ni makin garang pulak.” Abang Edika duduk di sebelahku.

Bulat mataku memandangnya kala ini. Tidak percaya dengan apa yang dia katakan.

“Abang cakap apa ni?”

“Haa, Haq dah setuju nak nikah dengan kau sebelum kau berangkat, dik,” jelas Abang Edika. Aku menolak tangan itu yang mahu melingkari bahuku.

“Eh, kenapa pulak dia setuju? Abang paksa dia, ya?”

Tatkala Abang Edika mengangguk, aku dah rasa nak pitam. Aduhai, abangku, adikmu ini belum terdesak hendak berumahtangga.

“Kenapa abang desak dia? Edi tak kisahlah. Mahu la Edi macam ni. Macam pelahap sangat,” keluhku. Mata dah terasa suam. Rasa nak menangis pun ada dah.

“ Ala , kalau abang tak paksa, dia tak nak. Kalau dia tak nak, mama mesti risau kalau Edi ke Mesir sorang diri. Edi nak ke mama risau sebab Edi, tak makan, tak minum. Dok termenung je.” Lirih pulak aku dengar suara abang aku ni.

“Abang tu mula la nak serang Edi pakai nama mama. Tapi, apa-apa pun Edi tetap tak setuju sebab abang yang paksa dia. Kalau dia betul nak Edi, kenapa dia tak terima Edi tanpa abang memaksa? Apa pun terjadi, Edi tak nak!” tekanku kuat.

Aku angkat tubuh mahu berlalu bila tubuh mama sudah tercegat di depanku dengan bercekak pinggang lagi. Masaklah aku kali ini.

“Edi tak nak apa ni?” tanya mama keras. Aku dah telan air liur dah. Rasa kelat semacam je.

“Jangan cakap Edi tak nak kahwin dengan Haq dah. Mama dah atur semua dah ni. Majlis tinggal seminggu je lagi.”

Aku tepuk dahi dah. Cepat betul mama uruskan semua ni. Patutlah sejak akhir-akhir ni tak lekat kat rumah je.

“Edi tak naklah, ma. Haq bukannya setuju nak kahwin dengan Edi, dia terpaksa setuju sebab abang desak dia.” Aku jeling Abang Edika di sebelahku. Tersengih saja dari tadi.

“Ah, mama tak kira. Kalau Edi nak study abroad, you have to get married first. Otherwise, I won’ allow you,” tekan mama keras lalu dia berlalu.

Melopong aku mendengarkan mama aku ni cakap Bahasa Inggeris. Tak pernah-pernah. Makna kata ni, memang dia memaksudkan apa yang dia kata la tu. Yang paling tak tahannya, Abang Edika dah dekat nak tergolek-golek atas rumput ni.

“Kelakar la mama cakap orang putih. Dasyat tu,” ujarnya dengan tawa yang tertahan-tahan. Hai, nak je aku luku abang aku ni.

“Abang, dahla gelak tu. Edi ni macam mana?” Aku duduk mencangkung. Tubuh Abang Edika aku gugah kuat-kuat. Bagi dia sedar sikit.

“Macam mana apa? Mama dah cakap macam tu, tak ada siapalah boleh ubah. Terima jelah walaupun Haq tu terpaksa terima kau, dik,” ujar abang aku lagi. Huh, pedih sungguh dengan kenyataan tu. Lama aku renung Abang Edika hingga akhirnya airmata aku mengalir sendiri. Pertama kali menitis kerana salam yang belum aku jawab. Geram!

“Eh, menangis pulak. Kenapa?” Riak Abang Edika dah mula risau.

“Ni semua abang punya pasal. Kalau abang tak kenalkan Haq tu pada Edi, tak adalah Edi menangis macam ni. Dah orang tu tak nak, abang pandai-pandai pulak desak suruh terima Edi. Macam Edi ni dah tak laku sangat,” jeritku agak kuat lalu aku berlari ke dalam rumah meninggalkan Abang Edika yang dah tentunya tengah garu kepala.

“Eh, kenapa ni?” tanya papa bila ku hampir terlanggar dia di pintu masuk. Malas nak jawab, aku terus berlari mendaki anak tangga dan menuju ke bilikku.

*******

PAGI itu aku bangkit dengan wajah yang sembab dan mata yang bengkak. Semalaman tidak tidur. Menghafaz juzuk yang seterusnya menggunakan ilmu yang ada di dalam dada ini sebelum aku terus mendalami ilmu hafazan ini di bumi Arab nanti. Sekadar ke sana mahu memperkemaskan bacaan agar lebih tertib dan teratur serta tepat bacaannya. Dan yang paling penting, aku mahu ingat setiap ayat di dalam 30 juzuk itu.

“Abang minta maaf pasal semalam.” Suara Abang Edika jelas di belakangku. Bila aku berpaling, wajah itu dah terjengul di muka pintu. Aku mencebik.

“Tak payahlah. Abang tu kalau tak sayang Edi cakap je. Tak payah nak malukan Edi macam ni. Tak payahlah selalu nak kenakan Edi,” ujarku bernada rajuk.

“Edini, siapa cakap abang tak sayang?” Abang Edika dah memeluk bahuku.

“Edi satu-satunya adik abang. Kalau Edi nak tahu kenapa abang selalu layan Edi macam kanak-kanak, sebab pada mata abang, Edi ni tetap adik kecil abang yang manja tu. Maaflah, kadang-kadang tu abang tak sedar yang Edi dah besar. Terlupa yang Edi ni dah nak kahwin. Maafkan abang, ya?”

Aku jeling wajah itu. Tengok rupa Abang Edika ni memang nampak wajah aku versi lelaki. Serupa je. Dah macam kembar. Tinggal dia ada misai dengan janggut je.

“Baiklah, Edi maafkan tapi Edi nak abang berterus terang satu perkara,” pintaku. Abang Edika jungkit kening bertanya dalam diam.

“Betul ke abang desak Haq suruh terima Edi?” tanya aku benar-benar nak tahu ni.

“Yang tu, jawapan dia ada kat bawah. Haq ada kat taman, dia nak jumpa Edi?”

“Awalnya. Buat apa pagi-pagi kat sini?” tanyaku lebih pada diri sendiri.

“Mestilah dia nak jumpa bakal isteri dia ni. Nak terangkan keadaan sebenarlah tu,” sela Abang Edika lalu dia menarik aku keluar. Mujur dah siap bertudung sebab nak mengaji tadi.

“Ops, kejap abang. Satu lagi soalan. Betul ke abang cakap dekat Haq yang Edi ni lagi tua dari dia?” Kali ini aku lihat kerut terentang di dahi Abang Edika. Dia garu kepala.

“Eh, apa pulak Edi cakap ni? Mana boleh dia lagi muda dari Edi. Dia 27 tau. Edi kan baru 24 tahun,” jawab Abang Edika sambil menggeleng.

Haa, dah tahu dah. Ni mesti Haq sengaja nak kenakan aku dan aku ni pun satu, pandai pulak menipu. Kan dah kena.

******

“Assalamualaikum,” hulurku tenang. Seperti biasa, wajah jelah tenang. Hati yang bergendang gendut dah.

“Waalaikummussalam,” jawab Haq dengan wajah yang sedikit keruh. Aku labuhkan duduk di depannya. Tenang saja pagi ini. Indah betul. Rasa macam ada perkara yang indah je akan berlaku kejap lagi.

“Awal datang?” tanyaku.

“Saja, ingatkan boleh sarapan sambal petai,” jawabnya bersenda.

“Erk, sambal petai tengah hari boleh. Kalau pagi ni minum teh je.” Aku jeling ke arah cawan the yang masih belum luak di depannya. Haq ketawa.

“Pasal Edika cakap tu, salah semuanya,” beritahu dia tiba-tiba. Aku dah pelik. Dalam banyak-banyak yang abang aku cakap tu, yang mana satu yang dia maksudkan ni?

“Banyak sangatlah yang Abang Edika cakap.”

“Haq terima Edi ikhlas. Bukan sebab Edika paksa,” ujarnya telus. Lurus macam pembaris lagi kali ni.

“Oh, pasal tu. Baguslah,” selaku tidak beriak. Sengajalah aku nak kenakan dia. Nak balas balik dia kenakan aku. Mengada nak panggil aku Kak Edi. Padahal Abang Edika tak cakap pun.

“Baguslah? Tak ada sambungan dah ke?” Haq mengerutkan wajah. Hati aku dah bantai gelak dah.

“Sambungan? Ingat ni drama bersiri ke apa?” tanya aku pula. Lagilah berkerut wajah dia.

“Betul ni, tak ada siapa paksa. Bila Edika cakap yang Edi dah ready nak terima pinangan Haq, memang Haq gembira sangat. Tu semalam bila Edika cakap Edi menangis sebab ingatkan Haq terima Edi terpaksa, pagi-pagi lagi terjengul la Haq kat sini. Nak pujuklah ni,” akuinya.

“No hal pun. Kak Edi okey je.” Sengaja aku tekan perkataan ‘kak’ tu pada dia. Aku lihat Haq dah telan liur.

“Err, pasal tu Edi dah tahu ke?” tanya dia dengan nada bersalah.

“Pandai ya cakap Abang Edika cakap orang macam tu. Lepas tu selamba awak je panggil saya Kak Edi dan saya ni pun percaya jelah.”

Haq senyum. “Laa, Edi pun tak nafikan. Haq saja jelah nak kenakan Edi.”

“Emm, jangan masa nak jawab nikah nanti panggil Kak Edini sudah,” selaku lantas berlalu bila mama sudah memanggil kami untuk masuk.

“Eh, makna kata, Edi terimalah lamaran Haq ni, ya?” tanya dia teruja bila dia sudah berjaya menyaingi langkahku.

“Awak dah beri salam pada hati saya, jangan cakap awak nak singgah je tau.” AKu angkat jari telunjuk kepada dia dan Haq terus ketawa lepas. Tak malu gelak besar kat rumah orang. Ejek hatiku padahal aku juga dah rasa nak berguling macam Abang Edika berguling semalam. Nampaknya, kahwin dulu la baru bulan madu ke Mesir seperti kata Haq dulu tu.

********

MALAM tu, selepas usai berjemaah Isyak bersama sebagai suami isteri, Haq tarik aku duduk di birai katil. Rindu nak tatap wajah aku yang dah halall ni katanya.

Bila teringatkan akad nikah petang tadi, aku memang nak ketawa saja. Masin mulut aku.

“Aku terima nikahnya, Kak Edini, eh kenapa pulak saya sebut kak?” tanya dia pada papa tatkala dia hendak menjawab qabul daripada papa aku sendiri. Papa tepuk dahi kata Kak Aira. Aku yang duduk dalam bilik sudah tergolek-golek bila Kak Aira bawakan berita itu pada aku. Itulah, suka mainkan aku lagi.

“Edini isteri saya,” serunya. “Tu ingat masa akad nikah la tu,” rungutnya. Bibir merah itu dijuihkan sedikit. Merajuk la konon. Sesambil itu, tangannya menghulurkan sebuah buku padaku. Buku yang bertajuk, Ciri-ciri Wanita Penghuni Syurga.

“Ni buku dekat MPH hari tu,” beritahunya tanpa aku bertanya. Sudahnya, jadi milik aku jua. Haish.

“Tadi tu gelakkan Haq la kot?” tanya dia lagi.

“Tak adalah,” dalihku. Malas hendak merosakkan suasana malam pertama bergelar isteri ni. Mata Haq jatuh ke wajahku dan kali ini nampak lain je. Ada maksud di sebalik renungan itu.

“Haq, boleh tak saya tanya sesuatu?” ajuku pada Haq. Tiba-tiba rasa seram sejuk pula bila jemari Haq sudah menggengam jemariku. Lagipun, aku saja nak mencantas renungan redupnya yang memang membuatkan aku resah.

“Boleh je. Isteri saya ni nak tanya apa?” tanya dia kembali. Aisehmen Ramlee, dia panggil isteri. Hatiku mengajuk macam skrip drama Bujang Lapok tu. Penuh makna ungkapan isteri saya tu.

“Apa hukumnya kalau kita tindih kitab Al-Quran dengan benda lain?” Muka Haq beriak pelik. Mesti dia rasa hairan memikirkan seorang yang belajar tinggi-tinggi macam aku ni tanya soalan dah terang terentang jelas jawapannya.

Hati aku dah bantai gelak siap-siap tengok muka pelik Haq. Biar dia jawab. Nak tengok juga ustaz cool ni jawab apa. Sehari sebelum kahwin, baru aku tahu yang dia pernah belajar menghafaz juga di Mesir. Patutlah bila cakap soal Mesir, dia tahu semuanya.

“Hukumnya haramlah. Tak kan Edi tak tau?” Dia senyum. Aku pun senyum juga.

“Haq tahu kan yang Edi hafaz Quran. Jadi, dalam diri Edi ni penuh dengan ayat suci Al-Quran. Jadi haramlah kalau ada sesuatu yang lain tindih Edi,” ujarku pula. Sengaja mengelat malam penuh debaran ni. Tak bersedia lagi sebenarnya.

Aku lihat Haq termenung. Jemarinya yang sedari tadi membelai pipiku jatuh ke ribanya. Bibirku menguntum senyum. Yes, menjadi jugak. Mahu saja aku julang tangan, buat ombak.

Tiba-tiba, Haq senyum. Berderau darahku naik ke muka. Encik Abdul Haq ni handsome sungguh. Apa orang putih kata. No words can describe la. Tapi, pada pandangan mata aku jelah. Kalau jiran aku tengok, mungkin dia kata Haq biasa saja. Beauty lies in the eyes of the beholder, kan .

“Kenapa senyum?” tanyaku. Dia diam saja dulu. Meraih jemariku pula kali ini. Aku biar saja, tak mahu membentak. Nanti berdosa besar pulak.

“Tak apa. Haq faham Edi tak bersedia lagi. Lagipun Haq pun penat ni. Kita rehat jelah dulu,” jawabnya.

Ada dulu tu. Sengaja dia tekan sikit. Haish, malam ni boleh elak tapi sampai bila. Perlu ke menyorok dalam peti ais mama yang besar sangat tu? Berdosa saja nanti tolak kehendak suami.

“Tapi, sebelum tu Haq pun nak tanya satu soalan dekat Edi ni.” Wajah Haq tiba-tiba ceria je.

“Apa?” tanyaku sepatah.

“Apa hukumnya kalau Quran, kita tindih dengan Quran?” soal dia. Kali ini aku rasa nak gelak pulak.

“Haq ni, mestilah tak apa kalau Quran kita tindih dengan Quran. Tak ada masalah pun,” jawabku lancar saja tanpa tahu muslihat Haq yang sebenarnya.

“So, Haq pun hafaz Al-Quran. Dalam tubuh Haq ni ada ayat suci Al-Quran la ni. So, kira tak salahlah kalau Haq…” Suaranya mati di situ bila dia sudah merapatkan tubuhnya di atas tubuhku.

“Tak salah kan sebab kita masing-masing menghafaz Al-Quran?” bisik Haq ke telingaku bila tubuh itu sudah sepenuhnya menghimpit tubuhku.

Sudahnya, aku terperangkap dengan alasan sendiri. Aduhai, lupa pulak suami aku ni pun menghafaz Quran. Kan dah kena. Tak dapat nak elak lagi dah.

“Assalamualaikum, isteriku yang tercinta,” gumam Haq ke telingaku.

“Waalaikummussalam,” jawabku perlahan dengan penuh debar dan malu-malu menjawab salam itu yang selama ini tidak pernah aku jawab bila salam itu hadir menjengah di depan pintu hati.

****TAMAT****

Seungguhnya, salam itu adalah sangat penting bagi kita. Mendoakan kesejahteraan sesama saudara Muslim dan bila salam itu mula menyapa hati, jawablah dengan penuh keikhlasan kerana boleh jadi, pemberi salam itulah yang Allah titipkan buat kita sebagai peneman tatkala duka dan bahagia. Salam sayang buat semua